KUMPULAN Guns N Roses. FOTO Ihsan 1stdibs.com
KUMPULAN Guns N Roses. FOTO Ihsan 1stdibs.com
Riadz Radzi


BAND rock legenda Guns N Roses mengumumkan Kuala Lumpur sebagai salah satu lokasi konsert jelajah Not In This Lifetime Tour 2018 yang akan berlangsung pada 14 November ini.

Guns N Roses menerusi Instagram rasmi mereka @gunsnroses memuatnaik lokasi terbaru konsert jelajah mereka di Asia, pagi tadi.

Selain Kuala Lumpur, band dari Los Angeles, Amerika Syarikat itu turut singgah di Jakarta, Manila, Taipei, Hong Kong dan Abu Dhabi.

Bagaimanapun, belum ada sebarang maklumat mengenai lokasi konsert di Kuala Lumpur dan harga tiket.

Gun N Roses pernah mengadakan konsert di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2013, namun Not In This Lifetime Tour 2018 ini paling dinantikan kerana ia menggabungkan kembali tiga anggota asal paling popular iaitu Axl Rose (penyanyi), Slash (gitar) dan Duff McKagan (bass).

Ketika konsert di SIC lima tahun lalu, hanya Axl Rose tampil sebagai anggota asal.

Selain mereka bertiga, Guns N Roses kini dianggotai Dizzy Reed (keyboard), Richard Fortus (gitar), Frank Ferrer (dram) dan Melissa Resse ( keyboard).

Not In This Lifetime Tour bermula di Los Angeles pada 1 April 2016. Sehingga hari ini, sebanyak 150 konsert sudah diadakan di Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, Asia, Australia dan New Zealand.

Malah, konsert jelajah berkenaan diiktiraf sebagai antara paling berjaya sepanjang zaman apabila mencatat keuntungan lebih USD480 juta (RM1.91 bilion) sehingga Disember tahun lalu.

Guns N Roses yang ditubuhkan pada 1985 serta popular menerusi lagu seperti Sweet Child O Mine, Welcome To The Jungle, Don't Cry, You Could Be Mine dan Patience sudah menghasilkan enam studio album yang keseluruhannya dijual lebih 100 juta unit di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 4:20 PM