GEGARKAN Sunway Lagoon 14 November ini.
GEGARKAN Sunway Lagoon 14 November ini.
Ridzuan Abdul Rahman

Sebut sahaja Guns N' Roses (GNR), pencinta muzik rock tentu tahu lagu berhantu Sweet Child O' Mine yang dimuatkan dalam album pertama kumpulan itu, Appetite For Destruction yang diterbitkan pada 1987.

Kehebatan karya ciptaan W Axl Rose ini dan lagu Welcome to the Jungle, Paradise City serta Nightrain berjaya menempatkan Appetite For Destruction sebagai album nombor satu di Amerika Syarikat serta seluruh dunia dengan penjualan hampir 25 juta unit.

Lebih menarik, ia menjadi identiti kumpulan ini yang berjaya mempengaruhi industri muzik di Amerika Syarikat dan menjadi ikutan band lain.

Suara Axl Rose serak basah ditambah pula petikan gitar Slash yang hebat membuatkan kumpulan ini begitu popular pada era 90-an dan bertahan sehingga kini.

Lagu lain dimuatkan dalam album ialah It's So Easy, Out ta Get Me, Mr Brownstone, My Michelle, Think About You, You're Crazy, Anything Goes dan Rocket Queen.

GNR mengambil pendekatan menjadikan lagu It's So Easy, Welcome to the Jungle, Sweet Child O' Mine, Paradise City dan Nightrain sebagai single selepas album pertama mereka dipasarkan.

Lagu Sweet Child O' Mine yang melodinya amat bertenaga dengan petikan gitar Slash dan nyanyian penuh semangat W Axl Rose ternyata mengharumkan nama GNR ke seluruh dunia.

Kini, peminat boleh menyaksikan kelincahan petikan gitar Slash, kemantapan vokal W Axl Rose dan petikan bass bertenaga Duff McKagan dalam konsert jelajah Guns N' Roses Not In This Lifetime Tour yang akan berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya pada 14 November depan jam 8 malam.

Selain Axl, 56, Slash, 52, dan Duff, 54, konsert jelajah ini akan turut menampilkan Dizzy Reed selaku pemain keyboard, Richard Fortus (gitar), Frank Ferrer (dram) dan Melissa Resse (keyboard).

Dizzy menyertai GNR pada 1991 manakala Melissa ialah pemuzik wanita pertama menganggotai kumpulan ini.

Peminat muzik rock tempatan tentunya beruntung dapat menyaksikan kehebatan anggota asal legenda rock yang masih hidup ini depan mata.

Apatah lagi, selama ini peminat di seluruh dunia hanya dapat menyaksikan aksi anggota asal GNR iaitu W Axl Rose (penyanyi), Slash (gitar), Duff McKagan (bass), Izzy Stradlin (gitar) dan Steven Adler (dram) di pita video, VCD, DVD dan YouTube.

AXL, Slash dan Duff bersama anggota asal Guns N' Roses, Izzy Stradlin (kiri) dan Steven Adler pada 1980-an.
AXL, Slash dan Duff bersama anggota asal Guns N' Roses, Izzy Stradlin (kiri) dan Steven Adler pada 1980-an.

GNR pernah mengadakan konsert di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Mac 2013 namun ia tidak begitu mengujakan kerana hanya Axl tampil selaku anggota asal.

Terima kasih kepada Galaxy Group selaku penganjur yang membawa GNR untuk peminat Malaysia.

Konsert jelajah Not In This Lifetime sudah menjelajah ke 158 lokasi di seluruh dunia. Dalam beberapa konsert, GNR turut mengundang bekas pemain dram asal, Steven yang kali terakhir bersama GNR pada 1990.

Walaupun masih berlangsung, konsert jelajah ini diiktiraf sebagai keempat paling laris sepanjang zaman dengan mencatat kutipan kasar berjumlah AS$480.9 juta.

Tiket untuk Konsert jelajah Not In This Lifetime sudah mula dijual sejak Jun lalu pada harga RM1,288; RM988, RM688, RM488 dan RM288.

Sempena Hari Malaysia, penganjur menawarkan berita baik apabila menganjurkan Promosi Hari Malaysia apabila diskaun 15 peratus akan diberikan untuk tiket kategori 1 hingga 4.

Promosi ini yang bermula pada 10 September ini akan berakhir 25 September ini.

Konsert GNR - Not In This Lifetime di Malaysia dianjurkan Galaxy Group.

Maklumat lanjut mengenai tiket sila layari Buytickets.com.my dan maklumat mengenai konsert di www.facebook.com/GalaxyConcerts dan Instagram @galaxygroup serta www.galaxy.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 12:30 PM