MAJID tangkap emosi kemanusiaan melalui emosi hubungan adik beradik.
MAJID tangkap emosi kemanusiaan melalui emosi hubungan adik beradik.
HM Digital

Selama ini, pengarah Majid Majidi dikenali kerana karya hebatnya mengenai kehidupan masyarakat di negaranya, Iran.

Kali ini dia cuba keluar dari kepompong melalui budaya, bangsa dan bahasa berbeza di India pula.

Beyond The Clouds dilihat sebagai sebuah karya yang cuba mencipta semula magis yang pernah dipaparkan dalam karya ulungnya Children of Heaven pada 1997.

Sama seperti karya sebelum ini, Majid tahu menangkap emosi kemanusiaan dan melalui filem ini, emosi dan hubungan antara adik beradik.

Lakonan Ishaan Khatter berjaya memukau penonton biar pun kali pertama muncul di layar lebar. Begitu juga Malavika Mohanan yang kelihatan menarik memegang watak kakak sulung.

Selain itu, lakonan GV Sharda juga cukup meyakinkan.

Cuma lakonan Tannishtha Chatterjee saja yang tidak puas ditonton kerana kelibatnya sekadar pelakon pembantu sahaja.

Dari segi skrip, ia persis filem Slumdog Millionaire cuma belum sampai ke tahap itu. Namun, ia penuh dengan pengisian mengenai hubungan keluarga, persahabatan dan emosi manusia.

Klimaks cerita agak tergantung dan disebabkan itulah ia berbeza dengan mana-mana filem yang pernah mengangkat isu serupa.

Tarikan lain ialah pada lagu runut Ala Re Ala yang menarik didengar, karya komposer hebat, A R Rahman.

Namun, jika penonton bukan penggemar filem artistik penuh estetika, filem ini mungkin bukan ‘makanan’ anda.

INFO:

filem

FILEM: Beyond The Clouds

ARAHAN: Majid Majidi

PELAKON: Ishaan Khatter, Malavika Mohanan

GENRE: Drama keluarga

TAYANGAN: 20 April 2018

ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 1:27 PM