ANTARA babak dalam filem Courage.
ANTARA babak dalam filem Courage.
FINN Wittrock memegang watak Freddie di samping Sarah Bolger sebagai Linda.
FINN Wittrock memegang watak Freddie di samping Sarah Bolger sebagai Linda.
Ramlah Zainal


Kisah hidup pemain bola sepak Amerika iaitu Freddie Steinmark yang penuh inspirasi adalah paparan menarik dalam filem Courage.

Filem yang diadaptasi daripada buku Courage Beyond The Game karya Jim Dent ini mendapat sambutan ramai ketika ditayangkan di pawagam seluruh Amerika Syarikat dengan judul My All American pada November 2015.

Courage yang berdasarkan kisah benar ini diarahkan oleh Angelo Pizzo yang pernah menghasilkan filem Rudy dan Hoosiers sebelum ini.

Ia menampilkan lakonan mantap Aaron Eckhart, Finn Wittrock, Robin Tunney, Sarah Bolger dan ramai lagi.

Tahun ini, FiTa Studios Sdn Bhd berbesar hati membawa filem ini ke Malaysia dan mula ditayangkan sejak semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Latiff Mohaideen berkata, Courage antara filem yang penuh inspirasi dan sesuai untuk penonton di negara ini.

“Selain jalan cerita yang bakal membawa penonton menyelami kisah hidup Freddie yang amat mencintai sukan dan usahanya memenangi kejuaraan, anda pasti tersentuh dengan semua elemen yang diterapkan dalam filem ini.

“Antaranya kekeluargaan, semangat setia kawan dan cinta yang melengkapkan filem Courage. Malah, pasti ada dalam kalangan penonton yang bakal menitiskan air mata,” katanya.

Abdul Latiff berkata, pihaknya yakin penonton terutama mereka yang baru menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau remaja bakal melanjutkan pelajaran ke universiti boleh menerima mesej penting daripada filem ini,” katanya.

Majlis tayangan filem ini yang dianjurkan FiTA baru-baru ini turut dihadiri beberapa selebriti tempatan antaranya Aqasha, Josiah Hogan, Mimi Fly, Faiz Dickie dan Baby Sofea.

Sementara itu, dalam satu temu bual, Pizzo mengakui Courage berbeza daripada filem yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

“Rakan dan teman sekerja semuanya sudah terkesan dengan hanya membaca skrip filem ini yang diangkat daripada kisah hidup Freddie.

“Filem ini juga menjanjikan emosi yang cukup mendalam kepada penonton. Saya juga tidak ada jawapan kenapa filem ini tidak diterbitkan lebih awal,” katanya.

Berlatarkan era 1960-an, Courage menceritakan mengenai Freddie yang cemerlang dalam pelajaran dan suka bersukan.

Freddie yang bertubuh kecil menyebabkan dia selalu kurang mendapat kepercayaan orang. Namun, dia bekerja keras bersandarkan bakat semula jadi dimilikinya.

Sejak kecil, Freddie diasuh untuk menjadi seorang atlet oleh bapanya.

Selepas banyak kali gagal mendapatkan biasiswa akhirnya Freddie mendapat perhatian jurulatih Darrell Royal untuk menjadi sebahagian daripada pemain bola sepak Amerika di University of Texas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 7:14 AM