FILEM berkisar hubungan antara manusia dengan haiwan peliharaan yang pada mulanya tidak diterima kehadirannya.
FILEM berkisar hubungan antara manusia dengan haiwan peliharaan yang pada mulanya tidak diterima kehadirannya.
Syafil Syazwan Jefri


KARYA filem berkaitan dengan haiwan selalunya bukanlah menjadi naskhah utama yang akan saya pilih untuk ditonton.

Namun, tatkala melihat filem June & Kopi dalam senarai filem baharu yang ditayangkan di Netflix, ia menarik perhatian saya lebih-lebih lagi, apabila melihat nama bintang utamanya, Acha Septriasa.

Sebelum menonton June & Kopi, antara jangkaan saya adalah, ia akan menjadi satu lagi filem yang berakhir dengan air mata seperti Hachi: A Dog's Tale yang pernah ditayangkan pada 2009, A Dog's Purpose (2017) dan sekuelnya, A Dog's Journey (2019).

Untuk ketiga-tiga filem ini, saya akui, air mata saya menitis kerana emosi yang terlalu kuat.

Secara ringkasnya, karya June & Kopi ini berkisar mengenai hubungan antara anjing dengan tuannya.

June, anjing jalanan berwarna putih secara tidak sengaja bertembung dengan wanita yang menjadi tuannya, Aya lakonan Acha Septriasa.

Aya menyelamatkan June dan membawanya pulang sekali gus memeliharanya di rumah. Walaupun di rumah Aya, suaminya, Ale (Ryan Delon) sudah memiliki anjing bernama Kopi, Aya memberi ruang kepada June untuk tinggal.

Permulaan kisah June di rumah keluarga Aya dan Ale tidak bermula dengan baik apabila Ale sebenarnya tidak menerima kehadiran June.

Selepas Aya dan Ale dikurniakan cahaya mata, anak mereka, Karin (Makayla Rose Hilli) bersahabat baik dengan haiwan peliharaan mereka itu.

Sehinggalah pada satu hari, berlaku satu insiden di mana Karin tersesat di dalam hutan ketika bercuti bersama keluarga.

Di situ, June dan Kopi muncul untuk menjejaki kehilangan Karin dan berlaku insiden yang menyayat hati sekali gus membuatka

n Ale menerima kehadiran June dalam keluarganya.

Dari segi lakonan, kemampuan lakonan Acha tidak perlu dipertikaikan lagi. Lakonan Ryan mungkin jarang ditonton penonton di Malaysia memandangkan dia lebih banyak beraksi untuk layar sinetron di Indonesia.

Perjalanan ceritanya ada naik dan turun. Ada babak yang kelihatannya sedikit perlahan, namun 'dibalas' semula dengan babak yang sedikit menduga adrenalin dan emosi.

Walaupun ia bukanlah satu cerita yang terlalu berat seperti dijangka, tapi benar-benar menyentuh hati. Tanpa saya sedari, air mata menitis di penghujung cerita.

Walaupun ia adalah mengenai hubungan antara manusia dengan haiwan peliharaan, ikatan emosi masih kuat, lebih-lebih lagi apabila babak terdahulu dicantum dan ditayang semula.

Inspirasi untuk filem ini adalah daripada pengalaman pengarahnya sendiri, Noviandra Santosa yang pernah memberi perlindungan kepada haiwan jalanan yang terbiar ketika zaman remajanya.

Mesej akhir yang disampaikan menerusi filem ini adalah, bagaimana pihak produksi tidak menyokong perniagaan jual beli haiwan peliharaan dan bagaimana mereka mempromosikan untuk memberi perlindungan kepada haiwan terbiar.

FILEM: June & Kopi

PENGARAH :Noviandra Santosa

PENULIS SKRIP: Titien Wattimena

PELAKON: Acha Septriasa, Makayla Rose Hilli, Tj Ruth, Ryan Delon

TERBITAN: Aurora Films

TAYANGAN: Netflix

ULASAN: Ulasan filem ini adalahpandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 6:18 AM