SESI latihan teater.
SESI latihan teater.
HM Digital

Edisi keempat program Siri Semarak Bangsawan 2017 anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan menampilkan pementasan berjudul Zhao Si Anak Yatim.

Teater arahan Lenny Erwan yang dijayakan oleh kumpulan Bangsawan Opera Sri Bandaraya akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bermula malam ini (13 Oktober) sehingga 15 Oktober, jam 8.30 malam.

Zhao Si Anak Yatim diadaptasi daripada karya agung China berjudul The Orphan of Zhao. Naskhah ini sudah diterjemah dan diadaptasi dalam pelbagai bahasa serta negara.

Lenny berkata, naskhah ini menjadi pilihan kerana jalan ceritanya yang dramatik dan sesuai diangkat menjadi kisah bangsawan.

“Ia mempunyai mesej tersendiri yang perlu dihayati oleh penonton. Tragedi dan dendam menjadi inti pati menarik teater ini.

“Saya gembira bekerja dengan kumpulan Bangsawan Opera Sri Bandaraya kerana mereka sudah mementaskan genre bangsawan sejak 2008 sehingga kini,” katanya yang pernah menjayakan 10 pementasan teater Bangsawan.

Latihan untuk teater ini bermula sejak Ogos lalu dan Lenny percaya barisan pelakonnya sudah bersedia menampilkan lakonan yang mantap dan menghiburkan penonton.

“Seperti tahun sebelumnya, satu bengkel bangsawan membabitkan artis budaya DBKL diadakan selama dua minggu pada Julai lalu.

“Dalam sesi bengkel ini, mereka menerima latihan tatacara lakonan bangsawan, selain serba sedikit mengenai sejarah perkembangan bangsawan,” katanya.

Pada akhir bengkel, mereka diberikan tugasan mempersembahkan lakonan bangsawan secara berkumpulan.

Bangsawan Zhao Si Anak Yatim menampilkan barisan pelakon Mohd Razli Mohamad (Cheng Bo), Shahliza Patimin (Tu’ani), Amirul Fahmi Zolkefli (Jeneral Tu’an Gu), Ayu Azril Ali (Cheng Ying), Nor Mohd Izwan Ismail (Jeneral Zhao Dun) dan Zainorin Tulijol (Maharaja Ling).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 9:44 AM