Mousekeeters pengendali program Club Mickey Mouse. TWDSEA
Mousekeeters pengendali program Club Mickey Mouse. TWDSEA
Norhadiani Baharom


MENERUSI uji bakat yang dilakukan di seluruh tanah air, tujuh remaja berbakat besar dipilih sebagai Mousekeeters pertama Malaysia.

Mereka bakal mengendalikan program Club Mickey Mouse yang pertama di Asia Tenggara.

Mereka adalah Charis, 26, yang bertindak selaku ketua pasukan Mousekeeters, Dheena, 13, Erissa, 14, Wafiy, 15 dan Gabriel, 16. Tidak ketinggalan dua pemenang Club Mickey Mouse Star Search, Faiz, 15 dan Natasya, 14.

Pengurus Besar merangkap Naib Presiden Rangkaian Media The Walt Disney Asia Tenggara, Amit Malhotra berkata pihaknya berbangga dengan bakat Mouseketeers Malaysia dan tidak sabar memperkenalkan mereka kepada umum.

"Saya gembira apabila Disney Channel memilih Malaysia bagi menonjolkan keupayaan dan kreativiti bakat muda tempatan kepada penonton negara ini," katanya pada sidang media memperkenalkan Mousekeeters dan Club Mickey Mouse di ibu kota.

Program yang dicetuskan Walt Disney pada 1995 itu menetapkan kriteria bertaraf ‘superstar’ dalam pemilihan Mousekeeters.

Selain mampu menyanyi dengan baik, Mousekeeters juga boleh berlakon, mengacara dan menari dengan baik.

Mereka juga perlu memiliki personaliti yang menarik dan membina agar dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat khususnya anak muda.

Bintang ternama antarabangsa yang bakatnya dicungkil menerusi program ini terdiri daripada Britney Spears, Christina Aguilera, Justin Timberlake dan ramai lagi.

Menerusi 13 episod, setiap minggu penonton dihidangkan dengan pelbagai topik yang berbeza, lagu dan langkah tarian yang kreatif, permainan menarik serta artis jemputan yang mewakili pelbagai bidang.

Program ini akan menemui penonton setiap Jumaat bermula 15 September ini, jam 1.30 petang di Disney Channel (Astro Ch 615) selain boleh ditonton melalui Astro GO dan On Demand.

Pelanggan juga boleh menyaksikan tayangan perdana Club Mickey Mouse di Disney XD (Astro Ch 617) dan Disney Junior (Astro Ch 613).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 8:51 PM