AZHAR akui dia dan bekas rakan duo saling menyokong selepas Azhael dibubar.
AZHAR akui dia dan bekas rakan duo saling menyokong selepas Azhael dibubar.
Syafil Syazwan Jefri


Jika sebelum ini Azhar Osman lebih dikenali menerusi kumpulan duo Azhael bersama Hael Husaini, kini dia mula mengorak langkah selesa sebagai penyanyi solo.

“Pembubaran yang berlaku adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Masing-masing memiliki minat dan arah tuju berbeza.

“Disebabkan itu, kami mengambil keputusan membubarkan Azhael. Saya pun tidak menghalangnya kerana yakin kami ada rezeki masing-masing dalam industri muzik,” katanya.

Ditanya sama ada timbul perasaan cemburu selepas Hael menempa kejayaan menerusi lagu berhantu ketika ini iaitu Jampi, Azhar hanya mampu ketawa.

“Buat apa saya nak cemburu? Walaupun tidak lagi bersama sebagai Azhael, kami saling menyokong antara satu sama lain.

“Lagipun, dia keluar dan berjaya sebagai penyanyi solo. Kalau tiba-tiba dia keluar dari Azhael dan kemudian tubuhkan kumpulan baru, memang saya akan cemburu,” katanya bergurau.

Namun, penyanyi berusia 29 tahun ini tidak menafikan ada rasa rindu untuk berkongsi pentas dengan rakannya itu.

“Rasa rindu itu semestinya ada. Kadang-kadang, saya rakamkan video nyanyian harmoni saya sendiri dan kalau nampak dia menyanyi di radio atau TV, saya akan berharmoni bersama,” katanya.

Terbaru, Azhar kini tersenarai dalam kalangan 24 peserta AF Megastar yang akan memulakan siarannya pada 28 Ogos ini.

“Alhamdulillah, ini satu lagi rezeki yang saya terima. Untuk AF Megastar, saya akan bertanding sebagai peserta solo,” katanya.

Menurut Azhar, dia tentunya akan berasa kekok kerana sudah terbiasa berdua ketika membuat persembahan.

“Kalau sebelum ini, rasa gemuruh, takut dan sebagainya saya boleh kongsikan dengan Hael, tapi kali ini semuanya bergantung kepada saya sendiri.

“Saya akan cuba berikan yang terbaik dan akan banyak bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman yang turut berada dalam AF Megastar,” katanya.

Menurutnya, dia sangat teruja apabila diberikan peluang oleh Astro untuk menjadi sebahagian daripada sejarah edisi khas Akademi Fantasia itu.

“Semestinya saya sangat teruja. Bayangkan, saya membesar dengan program AF dan rata-rata, peserta senior lain saya sudah tonton sejak zaman kanak-kanak lagi.

“Apabila dapat bergandingan dan berkongsi pentas dengan mereka, ia umpama peluang yang tidak mungkin datang lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 5:10 AM