Memanglah secara dasarnya Erra Fazira tidak pernah menyatakan dia dan penyanyi Shahir bercinta sebagaimana diperkatakan sebelum ini.

Malah kedua-duanya tidak menafikan mereka berkawan baik. Cik Pang faham mengapa mereka memberi kenyataan seperti itu. Selain mengelak pandangan negatif yang boleh menimbulkan fitnah, dpada waktu sama pastinya Erra atau Shahir tidak mahu menyatakan perkara belum pasti atau belum mempunyai ikatan yang sah.

Situasinya pasti lain sekiranya Shahir sudah melakukan langkah seterusnya seperti masuk meminang Erra dan punya perancangan mahu menikahi penghibur serba boleh itu.

Bercerita mengenai perkembangan antara Erra dan Shahir, ada sumber menyampaikan kepada teman Cik Pang yang kebelakangan ini kedua-dua artis ini sudah jarang berhubungan.

Apa puncanya tidak diketahui tetapi menurut sumber rapat dengan pelakon dan penyanyi popular itu kepada teman Cik Pang, Erra tidak lagi menerima panggilan atau menjawab sistem pesanan ringkas (SMS) daripada Shahir.

Tertanya-tanya juga Cik Pang, apa sebenarnya yang berlaku. Adakah benar hubungan antara Erra dan Shahir sudah berakhir.

Cik Pang mengharapkan cerita yang disampaikan ini tidak benar. Maklumlah, dalam satu-satu hubungan pasti ada pasang surutnya. Mungkin disebabkan masing-masing sibuk menyebabkan Erra dan Shahir tidak berhubung sekerap dulu.

Atau boleh jadi juga masing-masing sedang memberi ruang agar mereka menilai kembali perhubungan terjalin dan ke mana arah tujuannya selepas ini.

Apapun Cik Pang sentiasa mendoakan perkara yang baik-baik berlaku kepada Erra mahupun Shahir sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:02 AM