ASWJ adalah benteng dan paksi perpaduan ummah dalam menimba asas kefahaman, pengamalan dan penghayatan agama yang muktabar.
ASWJ adalah benteng dan paksi perpaduan ummah dalam menimba asas kefahaman, pengamalan dan penghayatan agama yang muktabar.
Dr Azmil Zainal Abidin

Secara asasnya, Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) adalah mereka yang mengikut jejak langkah dilalui Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda dalam memahami dan mempraktikkan iman, Islam dan ihsan.

Daripada segi bahasa atau etimologi ASWJ bererti 'pendukung jalan terpuji yang terhimpunan secara ramai' manakala dari segi istilah atau terminologi pula, ASWJ merujuk kepada 'mereka yang mengikut atau berada di atas jalan baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda berhubung persoalan iktikad kepercayaan yang disepakati ramai.'

Antara hadis bagi ambilan perkataan 'al-sunnah', Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Maka bahawasanya sesiapa dalam kalangan kamu yang hidup selepasku pasti melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah Khulafa' al-Rashidin yang mendapat hidayah petunjuk. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah ia dengan gerahammu." (Riwayat Abu Daud)

Hadis bagi ambilan perkataan 'al-Jama'ah' pula merujuk kepada sabda baginda SAW (maksudnya): "Dan sesungguhnya agama ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan; tujuh puluh dua daripadanya di dalam neraka dan hanya satu di dalam syurga, dan ianya adalah 'al-Jama'ah'." (Riwayat Abu Daud)

Gandingan 'al-Sunnah' dan 'al-Jama'ah' bukan rangkai kata direka-reka peristilahannya, tetapi istilah ini berkembang sesuai dengan tuntutan tabii dalaman Islam itu sendiri yang bercirikan ilmiah dan dinamik. Dari aspek keilmiahannya, ASWJ berlandaskan kepada:

1. Metode kebolehpercayaan sumber riwayat nas agama.

2. Metode penunjukan atau pelaziman makna di sebalik nas agama tersebut. Kedua-dua metode dalam berinteraksi dengan al-Qur'an dan al-Sunnah ini dikhidmati oleh ulama ASWJ dalam segenap bidang ilmu agamanya iaitu ahli tafsir, ahli hadis, ahli Usuluddin dan Usul Fiqah, ahli fiqah, ahli sufi, ahli bahasa Arab dan lain-lainnya sepanjang zaman.

Jelasnya, aliran ASWJ diwakili oleh:

1. Ahli hadis yang berpegang kepada al-Kitab, al-Sunnah dan ijmak, ahli kalam yang mendukung hujah akliah dalam kalangan Asha'irah dan Maturidiyyah serta ahli sufi yang mahir berhubung rasaan hati dan singkapan rohani serta bertolak daripada prinsip ahli hadis dan hujah akliah, lantas berkesudahan dengan ilham dan kasyaf di penghujungnya.

Berdasarkan manhaj keilmuan yang luas, Imam Abdul Qahir al-Baghdadi (wafat 429H) merangkumkan lapan kelompok umat Islam sebagai keseluruhan golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah iaitu ahli kalam Sunni, ahli fiqah, ahli hadis, ahli bahasa Arab, ahli qiraat dan tafsir, ahli tasawuf, tentera mujahid yang melindungi negara dan juga masyarakat Islam awam yang mendukung syiar Ahl al-Sunnah itu sendiri.

Justeru, ahli hadis tidak terpisah berasingan daripada dukungan Ahli Sunah Waljamaah, bahkan mereka berserta metode ilmunya termasuk dalam antara kelompoknya secara inklusif, integral dan sepadu.

Dari aspek kedinamikannya, ASWJ di peringkat awal dibayangi sikap ulama yang peka dan bertindak balas terhadap perkembangan ancaman akidah yang berlaku. Contohnya, dalam perbahasan sifat Allah SWT, ASWJ bersikap sederhana dalam mengimbangi gejala tasbih dan ta'til. Tatkala golongan Mu'tazilah dan Mu'attilah menafikan sifat Allah dari satu sisi, maka golongan Mujassimah dan Mushabbihah pula mensabitkan sifat Allah sehingga menyamakan sifat-Nya dengan makhluk. Sebaliknya, ASWJ mula dikenali sebagai Sifatiyyah yang mensabitkan sifatNya dengan penyucian tanpa sebarang penyerupaan dengan makhluk.

Antara tokoh ASWJ awalan adalah Imam al-Hassan al-Basri (wafat 110H), Imam Abu Hanifah (wafat 150H) dan Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H) dan lain-lain sehingga dikemuncakkan oleh pengisytiharan Imam Abu Hasan al-Ash'ari (wafat 324H) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333H) dalam merumuskan akidah ASWJ secara rasmi.

Firqah al-Najiyah (kelompok yang terselamat dari neraka) adalah nama lain ASWJ menurut hadis (maksudnya): "Sesungguhnya Bani Isra'il telah berpecah sebanyak tujuh puluh dua firqah, dan umat aku berpecah kepada tujuh puluh tiga firqah. Semuanya masuk neraka kecuali satu. Mereka (sahabat) bertanya: "Siapakah yang satu itu wahai Rasulullah?" Jawab baginda: "(Mereka) yang berpegang sebagaimana pegangan (dan iktikad) daku dan sahabat-sahabatku." (Riwayat Tirmizi)

Alasan penamaan tersebut bersempena kesempurnaan mereka dalam menuruti akidah Rasulullah SAW tanpa melampaui pernyataan nas al-Quran dan hadis, bukan berpegang kepada akal semata-mata. Sebaliknya, aliran akidah lain dianggap sesat kerana menyalahi akidah baginda akibat melampaui pernyataan nas al-Quran dan hadis, juga mentakwilkannya secara salah dan menurut nafsu tanpa panduan ilmu.

Tanpa tradisi ilmu, ummah terdedah kepada ancaman kekufuran dan pengeliruan bidaah iktikad. Kematangan wacana akidah ASWJ, khasnya Asha'irah dan Maturidiyyah adalah hasil jihad keilmuan para ulama dalam mendepani cabaran akidah silam selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Jika tradisi Usuluddin Asha'irah dan Maturidiyyah ini disia-siakan, maka umat Islam bakal terkapai-kapai dalam kekeliruan, khususnya ketika dilanda serangan pemikiran, ideologi dan falsafah Barat masa kini selain ajaran sesat dan bidaah iktikad klasik.

Pembentukan manhaj periwayatan, penafsiran dan istinbat mereka terhadap nas dan sumber agama dinatijahkan oleh sifat amanah ilmu ulama yang amat tinggi dan berkualiti. Ajaran ASWJ serasi dengan akal, ditenangi jiwa dan disambut oleh majoriti ummah sebagai tafsiran berautoriti terhadap maksud al-Quran dan hadis. Tuntasnya, ASWJ adalah benteng dan paksi perpaduan ummah dalam menimba asas kefahaman, pengamalan dan penghayatan agama yang muktabar.

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2024 @ 6:00 AM