REZAL (kanan) melihat pekerja mengilatkan motor pelanggan di premis Bike Spa 4447 Taman Sri Sentosa. - Gambar NSTP/EFFENDY RASHID
REZAL (kanan) melihat pekerja mengilatkan motor pelanggan di premis Bike Spa 4447 Taman Sri Sentosa. - Gambar NSTP/EFFENDY RASHID
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bike Spa 4447 (Bike Spa) merancang menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi melahirkan usahawan francais Bike Spa di seluruh negara.

Pengarah Urusannya, Rezal Hadi berkata, pihaknya masih dalam proses perbincangan dengan pihak terbabit dan menyasarkan membuka cawangan francais di Pahang dan Johor, bermula tahun depan.

Katanya, syarikat berharap dapat membuka lebih banyak cawangan Bike Spa di setiap negeri dan menjadi pusat sehenti bagi penjagaan lengkap motosikal.

"Dalam tempoh lima tahun, kita nak setiap negeri ada cawangan Bike Spa dan kami mengalu-alukan golongan belia menceburi bidang perniagaan ini kerana mempunyai permintaan.

"Jenama Bike Spa ini ada pengikut tersendiri dan asalnya, pemilik lama menutup operasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) berikutan dia berpindah ke Kuantan. Sejak itu, saya ambil alih dan sambutan begitu menggalakkan daripada pelanggan.

"Di Bike Spa, kami menawarkan bukan sahaja khidmat cucian motosikal berkuasa kecil dan besar, malah kami pakar dalam penjagaan motosikal berkuasa besar kerana ia tidak boleh dicuci sembarangan (terdapat banyak sensor).

"Selain itu, kami turut mempunyai khidmat polish, detailing dan coating serta semua servis membabitkan keperluan penjagaan motosikal," katanya.

Menurutnya, Bike Spa turut menawarkan perkhidmatan tukar minyak enjin dan beliau berpengalaman dengan dunia permotoran seperti Asia Road Racing dan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK).

"Saya mahu jadikan Bike Spa pusat sehenti permotoran dan disebabkan itu pelanggan tahu kualiti perkhidmatan kami tawarkan bukan sembarangan.

"Dari segi harga servis di Bike Spa bermula dari RM15 hingga RM180. Untuk melihat hasil kerja kami boleh melayari Facebook (Bikespa 4447 & Garage) atau TikTok (BikeSpa4447)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 12:11 PM