SAFUAN
SAFUAN

S4M Motorsport Sdn Bhd, syarikat menjual aksesori motosikal berkuasa tinggi di bawah jenama Saf-One Accessories merancang untuk melebarkan sayapnya ke Thailand dan Indonesia.

Pemiliknya, Safuan Ahmad berkata, pihaknya masih dalam perbincangan dengan pihak di negara berkenaan bagi memenuhi syarat dan dokumentasi yang diperlukan.

Katanya, kedai aksesori motosikal itu dibuka pada 2018 dan menawarkan pelbagai aksesori serta servis pada harga mampu milik.

"Selain meluaskan perkhidmatan ke negara lain, kami juga akan memberi tumpuan pasaran di Malaysia dan merancang untuk membuka cawangan lain iaitu Bike Station Saf-One di sekitar Lembah Klang.

"Kami juga akan perkenalkan perkhidmatan baru seperti wrapping, servis cuci motosikal dan pelbagai lagi di bawah satu bumbung termasuk menyediakan servis ke rumah pelanggan.

"Kami yakin Saf-One Accessories akan terus mendapat tempat di hati pelanggan kerana kelebihan kami dari segi servis yang berpatutan (lebih murah), aksesori yang ada di kedai kami terhad kerana tak semua kedai ada dan harga istimewa diberikan untuk pelanggan setia," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, barang kelengkapan dan aksesori yang dijual juga mempunyai banyak pilihan termasuk bermacam jenis kualiti mengikut kemampuan pelanggan.

Safuan berkata, pihaknya berharap dengan pembukaan sempadan dan sektor ekonomi akan meningkatkan lagi jualannya tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 7:01 AM