LEMANG dibakar.
LEMANG dibakar.
Zaid Salim

MEMBERSIHKAN buluh di sungai dan membakar lemang di tebing sungai menjadi tradisi penduduk Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu bagi menyambut Raya Nang dalam normal baharu.

Hari raya enam atau Raya Nang mengikut loghat Terengganu itu disambut secara berbeza kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini namun penuh makna.

Bagi penduduk kampung bergotong-royong dalam normal baharu dengan membakar lemang sememangnya menjadi tradisi penduduk sejak dahulu lagi.

Acara dilakukan di tebing sungai kampung itu sekali gus mengembalikan nostalgia warisan terdahulu cara menyediakan juadah berkenaan.

Lemang yang dibakar dalam kuantiti yang banyak itu pula bukan untuk hidangan jamuan hari raya sebaliknya diagihkan sebagai 'ole-ole' Raya Nang kepada semua penduduk kampung berkenaan yang dianggarkan seramai 200 keluarga.

Penyelaras acara, Mohamad Embong berkata, berikutan PKPB, acara itu terpaksa dilakukan secara sederhana dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

ANTARA santan yang disediakan.
ANTARA santan yang disediakan.

DAUN tebu dimasukkan ke dalam buluh.
DAUN tebu dimasukkan ke dalam buluh.

"Setiap tahun kebiasaannya kita membakar paling kurang 500 batang lemang, namun disebabkan masih lagi dalam tempoh PKPB, kita hanya membakar 400 batang yang disediakan secara bergotong-royong.

"Tradisi ini dilakukan turun temurun dan menariknya, kini proses pembuatan bermula daripada penyediaan bahan dilakukan golongan muda dan pertengahan usia dengan ada mengenakan pakaian warisan Melayu lengkap bertanjak serta capal," katanya yang juga penyelaras Dapur Kampung Prihatin Kampung Pulau Manis.

Katanya, selain diagihkan kepada penduduk, sebahagian makanan itu diberikan kepada pelbagai pihak dan agensi sebagai tanda terima kasih atas sumbangan sama ada berupa kewangan serta barangan keperluan asas kepada Dapur Kampung Prihatin untuk disalurkan kepada penduduk yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Bercakap mengenai persiapan bagi menyediakan makanan itu, beliau berkata, proses mencari buluh iaitu bahan utama bagi membuat lemang dilakukan di sekitar kawasan kampung berkenaan sehari sebelum acara manakala penyediaan bahan lain seperti santan dan beras pulut dilakukan pada awal pagi di kawasan tebing sungai berkenaan.

LEMANG yang siap dibakar disusun untuk diagihkan kepada penduduk.
LEMANG yang siap dibakar disusun untuk diagihkan kepada penduduk.

SEBAHAGIAN penduduk kampung sibuk membasuh buluh di sungai.
SEBAHAGIAN penduduk kampung sibuk membasuh buluh di sungai.

"Semua kerja dilakukan secara bergotong-royong normal baharu dan semua lemang siap dibakar dan diagihkan kepada penduduk jam 3 petang," katanya.

Sikap penduduk kampung yang saling bekerjasama membantu antara satu sama lain menarik minat warga Colorado, Amerika Syarikat untuk menetap di kampung berkenaan selepas berkahwin dengan jejaka kampung itu sejak tiga tahun lalu.

Khadijah Good Fellow, 43, yang memeluk Islam 11 tahun lalu berkata, dia memilih untuk menetap bersama suami di kampung berkenaan selepas tertarik dengan budaya penduduk yang sangat rapat bagaikan satu keluarga.

"Tahun ini saya sekali lagi berpeluang bersama-sama penduduk menyediakan lemang sebagai meraikan Raya Nang.

"Saya dapat menyaksikan proses pembuatan lemang bermula dengan memasukkan santan dan beras pulut ke dalam buluh sebelum dibakar kemudian dikongsi kepada penduduk.

"Apatah lagi apabila saya berpeluang bersama penduduk membuat sendiri lemang dan ia pengalaman indah dan berharga buat saya," katanya yang turut menggemari makanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 7:00 AM