INTAN Safinaz bersama koleksi barangan vintaj.
INTAN Safinaz bersama koleksi barangan vintaj.
Aniza Zainudin


MENGUMPUL sampah! Itu antara sindiran yang sering dilemparkan segelintir ma­syarakat kepada pasangan, Intan Safinaz Aris, 39 dan Abdul Rahim Hashim, 38, apabila minat mereka menjurus kepada koleksi barangan vintaj.

Memiliki lebih 10,000 barangan vintaj yang dianggarkan bernilai RM100,000, pasangan ini optimis untuk berkongsi memori bersama masyarakat apabila membuka kedai sendiri, Addy Vintage.

Terletak di Jalan Abdullah, Muar, Johor, Intan Safinaz berkata, idea untuk memulakan perniagaan vintaj adalah sekadar hobi bersama suami.

“Apabila koleksi barangan vintaj semakin banyak di rumah, kami mendapat idea untuk membuka galeri vintaj pada 2012.

HIMPUNAN koleksi vintaj yang sukar didapati.
HIMPUNAN koleksi vintaj yang sukar didapati.

“Tujuan utama adalah ingin mempamerkan koleksi barangan lama kepada generasi muda yang mungkin tidak pernah me­ngetahui kewujudannya.

“Kami juga ingin mengembalikan nostalgia dalam kalangan masyarakat yang dilahirkan era 1970-an hing-ga 1980-an menggunakan barangan vintaj sebelum ini.

“Ini kerana kami yakin ramai tertarik dan mencari-cari koleksi vintaj yang dekat di hati sekali gus membawa mereka kembali ke zaman kanak-kanak.

“Bukanlah semata-mata mengaut keuntungan, sebaliknya kami menyifatkan kedai ini sebagai galeri pembelajaran kepada pengunjung yang datang ke bandar ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Intan Safinaz, hobi mengumpul koleksi barangan vintaj juga menjadi satu kaedah menyatukan perpaduan antara kaum di Malaysia.

Katanya, peminat barangan lama ini terdiri daripada pelbagai bangsa yang menghargai keunikan koleksi nostalgia.

PELBAGAI jenis pelita.
PELBAGAI jenis pelita.

Secara peribadi, wanita ini berpandangan bahawa koleksi vintaj adalah sebahagian daripada barangan bersejarah dan ia menunjukkan kebijaksanaan, daya kreativiti serta kehalusan seni generasi datuk-nenek.

Menjadi satu-satunya kedai yang menyediakan barangan vintaj di Muar, Intan Safinaz mengakui elemen budaya turut diserap melalui koleksi berkenaan.

Tegasnya, satu kerugian masyarakat apabila tidak menghargai elemen yang ditonjolkan hingga ia hilang ditelan zaman dan mengikuti suntikan negara asing.

“Sayang jika kita memberikan elemen budaya masyarakat hilang begitu sahaja. Umpamanya, tidak ramai yang pandai membaca teks jawi hari ini.

“Saya bimbang identiti Melayu akan hilang satu hari nanti. Justeru, koleksi vintaj termasuk kitab dan novel lama perlu dihargai serta disimpan, kerana trend hari ini lebih kepada gajet.

MANGKUK tingkat vintaj penuh ukiran.
MANGKUK tingkat vintaj penuh ukiran.

“Sememangnya ada yang menganggap kami suka mengumpul sampah, namun sebenarnya mereka ini tidak mengetahui nilai yang ter­sembunyi di sebalik barangan ‘buruk’ ini,” katanya.

Berkongsi koleksi vintaj yang unik ada di kedainya, wanita ini berkata, barangan dinasti Ming yang diperoleh di persisiran Sungai Melaka dan Sungai Muar antara tarikan utama.

Bagi penulis, memasuki ruang kedai ini seakan-akan membawa pengunjung merentasi masa menerusi kaedah paling pantas apabila berpeluang menyaksikan transformasi barangan vintaj yang ditambah baik rekaannya dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 10:04 AM