PERCAYA pada bakat dan kreativiti anak muda.
PERCAYA pada bakat dan kreativiti anak muda.
LATIHAN Teater Maduku Kalut Returns di Istana Budaya.
LATIHAN Teater Maduku Kalut Returns di Istana Budaya.

Setiap bidang itu ada cabarannya apatah lagi untuk anak muda. Basyar Mustapha menemui bakat muda dalam dunia seni persembahan teater.

Bukan mudah menongkah arus melawan persepsi umum. Apatah lagi menguatkan semangat menyelami lautan cabaran atas dasar minat dan kecintaan ke atas seni teater.

Mereka faham dengan liku kehidupan, malah cuba menyampaikannya dalam persembahan yang diadakan.

Belia yang terbabit dalam dunia persembahan teater di negara ini tidak mahu terkesan dengan persepsi lapuk mengenai seni teater dan ingin terus mengorak langkah.

Kemunculan bakat muda dalam dunia pementasan teater tempatan juga membuktikan kita sebenarnya tidak ketandusan pelapis berbakat yang bukan saja menyambung perjuangan seni, malah mungkin juga membawa seni teater tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Pementasan Teater Maduku Kalut Returns merupakan contoh terbaik kebangkitan bakat muda dalam cabang seni ini.

Teater yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya Awal Ogos ini nanti akan menemui peminat penggemar teater kali kedua selepas kejayaan enam pementasan buat kali pertama pada 2013.

Antara tonggak utama kejayaan pementasan yang menjadi buah mulut peminat itu adalah pengarah muda Muhammad Azhar Zainal, 29, atau lebih senang dipanggil Azhar.

Bakat muda yang mencipta nama dalam penerbitan teater di negara ini antara bakat yang perlu diberi perhatian dan sokongan.

Selok belok dalam menerbitkan sesebuah pementasan teater sudah Azhar lalui sejak 11 tahun berkecimpung dalam bidang ini.

Bermula dari bawah, dia tidak pernah jemu melalui liku kehidupan sebagai anak seni di belakang tabir.

“Saya mula bergiat aktif sejak bergelar pelajar Diploma Seni Persembahan di Universiti Teknologi MARA lagi.

“Sementara masih bergelar pelajar, saya mencuri masa mengejar pengalaman dan ilmu di luar kampus dengan bekerja dalam produksi yang sudi menerima saya sebagai tenaga kerja di belakang tabir. Daripada melakar dan membina set hinggalah menjaga sistem pencahayaan.

“Memang tidak mudah, malah saya pernah tidak menerima bayaran dijanjikan. Namun, saya teruskan saja atas alasan ingin menimba pengalaman dan minat mendalam,” kata anak kelahiran Johor ini.

Selepas beberapa tahun menimba pengalaman dia mula diberi kepercayaan memegang peranan lebih penting seperti menjadi penolong pengarah dalam pementasan teater. Sehinggalah pada 2013 dia bersedia untuk mengarah naskhah pertamanya, Teater Maduku Kalut yang dipentaskan di Istana Budaya.

Ternyata pahit manisnya membuahkan hasil apabila pementasan itu dapat diterima peminat, malah disebut sebagai antara teater yang wajib ditonton.

Malah, penerbitan teater itu juga mendapat enam pencalonan di Boh Cameronian Awards edisi ke-11 yang mengiktiraf bakat seni dalam pelbagai bidang.

Nur Ameera Mohd Ramli atau Ameera Ramlee, 29, juga mengerti susah payah rakan seperjuangannya itu dalam memartabatkan bakat muda dalam dunia seni yang kompleks ini.

Banyak cabaran terpaksa dilalui penggiat muda terutama dalam dunia teater.

“Kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan berfikir lebih kreatif mengikut peredaran semasa. Cabaran datang dalam pelbagai bentuk dan antara yang utamanya adalah mendapatkan kepercayaan daripada pelbagai pihak dalam mementaskan teater yang diusahakan.

“Mendapatkan penajaan kos sudah tentulah menjadi cabaran utama. Banyak organisasi yang susah memberi kepercayaan kepada anak muda, namun kami tetap menunjukkan kebolehan dan lama-kelamaan ramai yang mengiktiraf usaha kami,” katanya yang juga pengurus pentas pementasan Teater Maduku Kalut Returns.

Ameera sendiri pernah merasa perit getir dalam dunia seni persembahan. Walau dibayangi pelbagai cabang bidang lain, namun dia masih percaya terhadap rezeki dalam bidang seni ini.

Walaupun pernah dihalang keluarga, Ameera membuktikan rezeki tuhan ada di mana-mana dan kini menggenggam beberapa anugerah seperti Pelakon Terbaik Anugerah Boh Cameronian Arts Awards edisi ke-12 melalui teater berjudul Lembu.

Ameera dan Azhar setuju bahawa nilai kreativiti tinggi dan sikap tidak mudah mengalah penting untuk anak muda di luar sana berjaya dalam dunia seni persembahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 12:24 PM