SYARUL dan Nur Fathia berusaha jiwai watak masing-masing.
SYARUL dan Nur Fathia berusaha jiwai watak masing-masing.
NABILA bawa watak nenek kebayan dengan baik.
NABILA bawa watak nenek kebayan dengan baik.
LAKONAN Ogy dan Fazlina paling mencuri tumpuan ramai.
LAKONAN Ogy dan Fazlina paling mencuri tumpuan ramai.
Oleh Ramlah Zainal


Bukan saja menghiburkan, pementasan teater Bawang Putih Bawang Merah juga menyaksikan gandingan hebat Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) dan adiknya, Fazlina buat julung kalinya di pentas sekali gus meneruskan legasi ibu mereka, Allahyarham seniwati Saadiah.

Dalam teater arahan Erma Fatima dan diangkat daripada kisah dongeng rakyat popular itu, Fauziah menampilkan lakonan mantap sebagai ibu tiri yang sangat kejam iaitu Kundur iaitu ibu kepada Bawang Putih dan Fazlina pula watak Labu (ibu Bawang Merah).

Secara peribadi, Ogy mengakui dia sangat bangga dengan prestasi lakonan yang ditonjolkan Fazlina itu.

“Sebagai guru lakonannya, pastinya saya gembira dapat bergandingan dengan adik sendiri dalam teater ini.

“Saya juga tidak ‘mematikan’ lakonannya dalam teater ini sebaliknya memberikan semangat padanya untuk memberikan yang terbaik dalam lakonan.

“Walaupun hanya ada dua babak sekalipun, seseorang pelakon harus memastikan babak itu meninggalkan impak pada penonton,” katanya.

Bagi Fazlina yang lebih mesra disapa Baby pula, dia sudah menanti selama 20 tahun untuk beraksi dengan kakaknya di pentas persembahan itu.

“Kak Ogy bukan saja kakak tetapi guru lakonan dan mentor saya dalam bidang lakonan selama ini.

Pada mulanya, saya ingin menarik diri daripada berlakon dalam teater ini apabila mendapat tahu akan bergandingan dengan kak Ogy di pentas teater ini.

“Namun, saya tetap teruskan apabila kak Ogy sendiri memberi semangat pada saya untuk beraksi dalam teater ini.

“Saya yakin arwah ibu kami juga berasa gembira dan bangga apabila melihat kedua-dua anak perempuannya beraksi di pentas sekali gus meneruskan bidang seni yang diwarisi daripadanya,” katanya.

Ogy ditemui pada majlis pratonton teater Bawang Putih Bawang Merah yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Sementara itu, penampilan pelakon hebat Beto Kusyairi yang membawa watak Si Bongkok juga mencuri tumpuan ramai. Ternyata, watak lelaki hodoh yang menaruh hati pada Bawang Merah itu berjaya mengundang simpati penonton.

Begitu juga penampilan watak Nenek Kebayan lakonan Nabila Huda. Walaupun hanya dua babak, penampilan Nabila sebagai nenek kebayan tetap beri impak tersendiri kepada penonton.

Lebih menarik, Nabila turut bergandingan dengan anaknya, Keisya yang berlakon sebagai pari-pari kecil dalam teater ini.

Proses pembelajaran bakat baru

Walaupun masih ada kelemahan, teater Bawang Putih Bawang Merah turut berjaya menggilap bakat baru berwajah komersial ke pentas teater.

Antaranya, lakonan Juliana Evans yang menyerlah dengan watak antagonis Bawang Putih yang pernah dilakonkan seniwati Umi Kalthom.

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu juga berjaya menghidupkan watak Bawang Putih yang gedik tetapi dalam versi komedi hingga membuatkan penonton ketawa sepanjang pementasan.

Bagaimanapun, pengarahnya, Erma Fatima berkata, walaupun ada kelemahan pada pementasan malam kedua itu tetapi ia sebagai proses pembelajaran kepada pelakon baru.

“Walaupun masih ada kelemahan, saya percaya barisan pelakon sudah buat yang terbaik. Pelakon baru seperti Syarul Ridzwan (watak Putera Raja) dan Nur Fathia sangat komited dan sentiasa ingin belajar daripada pelakon berpengalaman.

“Kesilapan yang mereka lakukan sangat kecil pada pementasan malam kedua ini dan saya yakin ia akan diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Sebagai pengarah, saya juga mencatat setiap kelemahan pelakon dan akan memperbaikinya dalam pementasan yang seterusnya. Contohnya, tindakan spontan Fathia yang menyergah penonton dalam salah satu babak dalam teater ini,” katanya.

Tidak ketinggalan, penampilan Dafi yang menghiburkan dengan watak Panglima Kecil, Ungku Ismail (Datuk Pang­lima), Rosnan Rahman dan pelakon Indonesia, Tya Ariffin yang melakonkan karakter Melor yang juga kawan baik Bawang Putih dengan baik.

Pementasan teater Bawang Putih Bawang Merah yang juga arahan bersama Erma Fatima dan A Aris Kadir, dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai 3 Disember lalu sehingga 8 Disember ini.

Maklumat lanjut mengenai tiket, layari laman web redtix.airasia.com atau kaunter box-office di Istana Budaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 5:01 AM