Oleh Ardini Sophia Sina

Shah Alam: Penyanyi dan pelakon, Mohamad Aliff Aziz, 24, mengikat tali pertunangan dengan Dayang Nabellah Awang Astillah, 21, dalam majlis yang diadakan di Crystal Hall, Plaza Jelutong, di sini.

Majlis dimulakan dengan persembahan tarian kebudayaan diiringi dengan ucapan perbincangan oleh Datuk Abdul Rashid Adam yang mewakili kedua ibu bapa pihak lelaki.

Sementara itu, pihak Bella diwakili oleh bapa saudara, Rosli Ismail.

Pada majlis itu, pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran iaitu sebentuk cincin, telefon bimbit dan senaskhah Al-quran.

Pihak perempuan pula membalas dengan tujuh dulang hantaran terdiri daripada sirih junjung, coklat, kek dan minyak wangi.

Majlis kemudian disusuli dengan adat menyarung cincin yang disempurnakan oleh S Hafiza Basharahjil iaitu ibu Aliff.

Sementara itu, Aliff yang ditemui selepas majlis gembira kerana semuanya berjalan dengan lancar.

"Kami sudah tiga tahun kenal tetapi mula rapat Disember tahun lalu. Keserasian membuatkan kami akhirnya bercinta.

"Syukur kerana keluarga dapat menerima pilihan saya. Mereka merestui kerana Bella membawa banyak perubahan positif dalam hidup saya," katanya.

Kedua- dua pihak keluarga bersetuju untuk melangsungkan majlis pernikahan mereka pada tahun depan, tapi tiada tarikh ditentukan.

Majlis mereka dihadiri oleh keluarga Aliff dari Singapura serta rakan artis seperti Indah Ruhaila, Ewal, dan Aizad Amdan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 10:44 PM