Ardini Sophia Sina


PELAKON filem Bu, Nadia Brian, 28, selamat melangsungkan majlis pertunangan dengan kekasihnya, Mu'izz Nasruddin, 28, di sebuah hotel di Shah Alam, hari ini.

Pemilik nama penuh Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu berkata, dia terpaut hati dengan kesungguhan dan sikap tidak putus asa jejaka itu untuk mengenalinya dengan lebih dekat.

"Muiz seorang lelaki yang baik, bertanggungjawab dan saya sungguh bertuah dapat mengenalinya. Dia sentiasa memahami malah tidak segan untuk bertemu dengan keluarga dan itu yang membuatkan terbuka hati menerima lamarannya.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya terharu atas bantuan kedua belah pihak keluarga kerana bertungkus-lumus menjayakan majlis ini ketika saya sibuk dengan penggambaran," katanya.

Menurutnya, majlis perkahwinan mereka akan diadakan seawalnya pada 19 September depan atau selewatnya Februari 2020.

"Kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh berkenaan tetapi mereka lebih suka dan menyarankan kalau majlis perkahwinan diadakan lebih awal," katanya.

Pada majlis itu, pihak perempuan menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak lelaki. Antaranya, set produk kecantikan, kek, kasut, buah-buahan dan minyak wangi.

Nadia yang ditemani ibunya, Husmarita Hussain, 49, turut menerima sebentuk cincin yang disarungkan kepadanya oleh ibu Mu’izz iaitu Nona Suin, 59, sambil diperhatikan ibunya.

Majlis dihadiri lebih 300 tetamu termasuk ahli keluarga kedua belah pihak serta rakan terdekat.

Tujuh wakil daripada pihak lelaki turut menyuap manisan kepada Nadia sebagai tanda merestui perjalanan pasangan itu ke jenjang pelamin.

Turut meraikan majlis itu ialah sahabat baik Nadia, pelakon, Ainul Aishah. Pasangan itu berkenalan menerusi Ainul pada 2016 namun hanya mula rapat sejak Oktober tahun lalu.

Terdahulu, pada awal Februari, Nadia menerusi Instagram berkongsi gambar dilamar Mu'izz ketika berada di hadapan Menara Eiffel, Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 4:46 PM
NADIA Brian dan Mu'izz Nasruddin selamat melangsungkan majlis pertunangan di sebuah hotel di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
NADIA Brian dan Mu'izz Nasruddin selamat melangsungkan majlis pertunangan di sebuah hotel di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar