MASJID antara destinasi lawatan GISO.
MASJID antara destinasi lawatan GISO.
SESI pemindahan ilmu bersama pelajar Islam Krabi .
SESI pemindahan ilmu bersama pelajar Islam Krabi .
PENYERAHAN sumbangan kepada penduduk daif.
PENYERAHAN sumbangan kepada penduduk daif.
JERNIH kehijauan air laut di Pulau Phi Phi.
JERNIH kehijauan air laut di Pulau Phi Phi.
Oleh Mohd Zaini Othman


Menempuh perjalanan ribuan kilometer untuk berkongsi ilmu di samping mengukuhkan silaturahim tidak mudah jika mental tidak kuat dan jiwa tidak cekal. Namun, tiada cabaran tiada kepuasan bagi sekumpulan ahli Kelab Debat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selaku penganjur Global Islamic Student Outreach (GISO) yang merealisasikan program Travelog Menyelusuri Krabi bermula 9 hingga 14 November lalu.

Pengisian program yang merangkumi 10 peserta termasuk seorang pegawai pengiring jelas memberikan pengalaman bermakna kepada pelajar melaksanakan khidmat komuniti berbentuk jasmani, rohani dan intelektual bersama masyarakat Islam di bandar perairan Thailand itu.

Sebelum itu, rombongan perlu menempuh perjalanan darat sejauh 1,010 kilometer (km) selama 14 jam bermula dari kampus USIM di Nilai, Negeri Sembilan, melalui pintu sempadan iaitu Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam, Malaysia dan Kompleks Imigresen Sadao, Thailand sebelum melintasi beberapa daerah utama seperti Hat Yai, Phattalung, Songkhla dan Trang sebelum tiba di destinasi.

Lewat senja barulah tiba, namun keletihan menempuh perjalanan jauh diketepikan ahli rombongan GISO yang teruja menyiapkan bingkisan barangan keperluan harian sebagai buah tangan ketika menyantuni dan meramahi saudara Muslim Krabi nanti.

Pengarah GISO, Abdul Rasydan Mohamad Rusli mengakui satu perjalanan bermakna buat kru GISO apabila tiba di kawasan penduduk daif.

“Wilayah Krabi menjadi destinasi pelancongan dan percutian yang mendapat perhatian pelancong antarabangsa kerana keindahan pantai dan pulau sekitarnya, ia juga menjadi ‘bumi berteduh dan rezeki’ hampir 500,000 masyarakat Islam Thailand di sini.

“Pengisian kami laksanakan di sini ialah menziarahi penduduk fakir miskin untuk menyampaikan sumbangan makanan harian.

“Dua kampung menjadi destinasi yang dituju iaitu Kampung Klong Khamao dan Kampung Koh Khlang. Kami terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda kerana kampung itu terletak di pedalaman dan jalan raya ke sana kurang baik.

“Rasa sebak dan menitis air mata peserta GISO ketika mengunjungi beberapa rumah penduduk kampung yang sangat daif dan mendengar sendiri kisah hidup mereka,” katanya.

Rombongan sempat mengunjungi dua sekolah Islam iaitu Sekolah Rendah Anubal Wunthong dan Sekolah Menengah Wunthong Wittaya bagi memberi peluang peserta mencurahkan ilmu di dada.

Satu usaha wajar dipuji kegigihan pendidik sekolah Islam terbabit terutama pengasasnya Allahyarham Soleh Thaokloy, kini diuruskan anaknya, Muktar Thaokloy apabila meneruskan kelangsungan pendidikan Islam di sekolah berkenaan.

Kedua-dua sekolah dwi­aliran itu menerapkan pendidikan kebangsaan pada sesi pagi dan pendidikan Islam bermula petang hingga malam. Sekolah itu tidak mengenakan yuran pada pelajarnya malah memberi bantuan makanan percuma kepada pelajar fakir miskin.

Tidak menerima peruntukan kerajaan seperti gaji guru, kelengkapan persekolahan dan pembangunan infrastruktur, atas inisiatif sendiri guru dan pentadbiran sekolah membolehkan sumbangan zakat dan derma persendirian menjadi kelangsungan pada institusi ilmu itu.

Presiden Komuniti Islam Krabi, Asnawee Mukura ketika ditemui di Masjid Besar Wilayah Krabi berkata, hubungan erat di antara penduduk Islam Thailand dan Malaysia membantu perkembangan penduduk Islam di Thailand.

“Di seluruh Thailand kami mempunyai sekitar 40 daerah yang didiami penduduk Islam. Kira-kira 230 masjid berdaftar di bawah Majlis Agama Islam.

“Alhamdulillah, masjid besar ini mendapat Anugerah Pengurusan Masjid Cemerlang oleh Kerajaan Thailand selama tiga tahun berturut-turut.

“Kita juga mempunyai hubungan akrab dengan Majlis Agama Islam Perlis dalam aspek perkongsian kepakaran kakitangan dan penganjuran kursus bersama,” katanya.

Pendebat Bahasa Arab USIM yang mengikuti GISO, Nur Azreen Zainal berkata komuniti Islam di situ membantu memberi keselesaan pengunjung Islam datang ke pulau berkenaan.

“Mencari makanan halal di sini tidak sukar kerana ada lebih 160 premis hotel dan restoran yang menyediakan menu halal.

“Ia faktor utama pengunjung Islam ‘selesa’ bercuti di sini. Kehadiran pelancong Asia Barat di sini juga makin bertambah saban tahun.

“Kita berharap kunjungan pelancong ke sini dapat membantu ekonomi masyarakat Islam di sini dan pada sama membantu kelangsungan syiar Islam ke serata pulau berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:02 AM