PEMAIN England gigih berlatih bagi hadapi perlawanan menentang Scotland.
PEMAIN England gigih berlatih bagi hadapi perlawanan menentang Scotland.
AFP

Glasgow: Selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada aksi kelayakan Euro 2016, England dan Scotland akan kembali ‘menghidupkan’ permusuhan 142 tahun apabila kedua-dua pasukan itu bertemu pada aksi persahabatan di Glasgow, awal pagi esok.

England yang dibimbing Roy Hodgson berada di kedudukan selesa selepas menduduki tangga teratas kumpulan kelayakan dengan kelebihan enam mata hasil kemenangan 3-1 ke atas Slovenia, awal pagi kelmarin.

Selepas menang semua empat perlawanan Kumpulan E setakat ini, England bakal layak ke pusingan akhir dan awal pagi esok, mereka bakal berdepan Scotland, pasukan yang tidak pernah mengalahkan Three Lions sepanjang 15 tahun lalu.

Tetapi tahap keyakinan Scotland turut melonjak selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada pusingan kelayakan dan Hodgson sedar, andai anak buahnya tewas, ia akan menjejaskan imej pasukan.

England menang 3-2 pada pertemuan terakhir di Stadium Wembley Ogos tahun lalu menerusi gol kemenangan Rickie Lambert pada penampilan pertamanya di peringkat antarabangsa.

Scotland menang 1-0 ke atas Republik Ireland di Celtic Park, Sabtu lalu dan kapten England Wayne Rooney mengingatkan rakan sepasukan supaya bersedia berdepan segala kemungkinan di depan 60,000 penyokong tegar tuan rumah.

“Anda tidak akan tahu macam mana suasana perlawanan hinggalah bermain di depan penyokong mereka,” kata penyerang Manchester United itu yang membuat kemunculan ke-100 bersama skuad kebangsaan dengan menjaringkan gol penyamaan ketika bertemu Slovenia.

“Saya masih ingat kali pertama United bertemu Celtic dan pernah menyaksikan beberapa perlawanan membabitkan pasukan itu ketika Alan Stubbs dan Roy Keane berada di sana.

“Saya berada di tengah-tengah penyokong dan suasananya sangat hebat, tapi tidak sama apabila anda berada di tengah padang. Ia sesuatu yang hanya akan anda rasai sebagai pemain.

“Justeru, mungkin ada beberapa pemain muda England yang akan panik dan saya perlu pastikan mereka dapat bermain dengan rentak sendiri.” -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:06 AM