Glasgow: Wayne Rooney muncul penjaring ketiga terbanyak England apabila skuad bimbingan Roy Hodgson itu menundukkan musuh tradisi Scotland, 3-1 pada aksi persahabatan di Glasgow sekali gus melebarkan rekod kemenangan Three Lions kepada enam perlawanan dalam semua pertandingan.

Alex Oxlade-Chamberlain meletakkan England di depan pada aksi di Celtic Park dan Rooney meledak dua jaringan manakala gol tunggal tuan rumah disumbangkan Andy Robertson. Rooney kini mengumpul 46 gol peringkat antarabangsa dan ia terhasil pada penampilan ke-101 bersama skuad kebangsaan.

Jumlah itu membolehkan penyerang Manchester United itu memintas catatan Jimmy Greaves yang sebelum ini berkongsi kedudukan dengannya di tempat ketiga dan Rooney kini hanya tiga gol di belakang rekod Bobby Charlton dan dua gol di belakang Gary Lineker.

“Kami mempunyai ramai pemain muda dan sudah memberitahu mereka mengenai suasana dan sokongan yang bakal diterima pasukan tuan rumah di sini,” kata Hodgson.

“Kami berjaya mengatasi semua masalah itu dan saya fikir penyokong kami juga hebat. Mereka berjaya mengawal diri dan berdiri di belakang kami.”

England kini mencatat enam kemenangan dalam semua pertandingan sejak tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Dunia. Mereka juga menduduki tangga teratas Kumpulan E kelayakan Euro 2016 dengan kelebihan enam mata sebelum aksi disambung pada Mac.

Scotland turut berada di kedudukan baik untuk ke pusingan akhir Euro 2016, tetapi walaupun hanya mengenepikan seorang pemain berbanding pasukan yang mengalahkan Republik Ireland 1-0 minggu lalu, skuad kendalian Gordon Strachan itu gagal mengulangi aksi serupa seperti dipamerkan sebelum ini.

“Kami berkumpul sejak 10 hari lalu dan menjadi hasrat kami mendapat tiga mata ketika bertemu Ireland,” kata Strachan. “Kami gembira berjaya ke atas Ireland, tetapi untuk menamatkan tahun ini dengan kekalahan sesuatu yang mengecewakan.”

Kembali mewakili England selepas tidak dipanggil selama dua tahun setengah, Stewart Downing diturunkan di bahagian tengah menerusi formasi 4-3-3 berbanding posisi biasa dimainkan sepanjang mewakili West Ham United musim ini.

Hantaran lintangnya hampir menghasilkan gol awal England, tapi tandukan Gary Cahill tersasar manakala rembatan Danny Welbeck pula tepat ke penjaga gol David Marshall sekali gus menjadi petanda positif pada perlawanan pertama menentang Scotland sejak 1999.

Tuan rumah hampir menjaringkan gol menerusi Scott Brown, tetapi England lebih dulu memanfaatkan peluang pada minit ke-32.

Jack Wilshere menjana gerakan itu apabila melepasi kawalan pertahanan Scotland sebelum membuat hantaran untuk membolehkan Oxlade-Chamberlain menanduk masuk bola yang gagal diselamatkan Marshall.

Kedua-dua jurulatih membuat pertukaran ketika rehat dengan Adam Lallana serta Phil Jagielka masuk buat England manakala Craig Gordon, Darren Fletcher dan James Morrison dimasukkan Strachan.

Ia aksi pertama Gordon bersama Scotland dan penjaga gawang Celtic itu melepaskan dua gol.

Sepakan percuma James Milner dikeluarkan pertahanan Scotland, tetapi bola singgah di kaki Wilshere dan bola lambungannya pantas ditanduk masuk Rooney untuk gol kedua pasukannya.

Pemain gantian, Robertson merapatkan kedudukan pada minit ke-83 apabila menewaskan Forster selepas hantaran satu dua dengan Johnny Russell.

England bangkit dan Rooney menyempurnakan hantaran Adam Lallana untuk mengekalkan kelebihan dua gol ke atas tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:07 AM