Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Kuantan: Kegiatan licik lapan lelaki dan dua wanita yang dipercayai aktif menjalankan aktiviti perjudian lumba kuda tumpas apabila mereka ditahan polis dalam serbuan di sebuah premis di Taman Perindustrian Semambu, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, semua kaki judi yang ditahan berusia 44 hingga 72 tahun gagal melarikan diri selepas dikepung pasukan Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, hasil serbuan polis merampas 10 telefon bimbit, empat alat kelui, dua komputer tablet, dua mesin kira dan satu buku jadual lumba kuda.

"Turut dirampas, dua beg sandang, 13 helai kertas yang mencatat pertaruhan lumba kuda dan wang tunai RM43,901 dipercayai wang pertaruhan pelanggan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, polis tidak menolak kemungkinan sindiket kaki judi itu mula beroperasi sejak beberapa bulan lalu selepas kegiatan perjudian Internet dihapuskan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 1:47 PM