NURUL Izzah Anwar. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
NURUL Izzah Anwar. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dipanggil memberi keterangan kepada polis Jumaat ini berhubung perjumpaannya dengan jurucakap Kesultanan Sulu Jacel Kiram.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Nurul Izzah serta peguamnya dan Ahli Parlimen terbabit bersetuju untuk memberi keterangan esok.

"Dia perlu menjelaskan pada polis apa sebab dia bersama dengan Jacel Kiram kerana individu terbabit adalah jurucakap kepada kepada Ismail Kiram ketika peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah.

"Saya perlu tahu kenapa mereka berjumpa kerana saya perlu menjawab dengan ahli keluarga pegawai dan anggota saya yang terkorban semasa peristiwa itu," katanya selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara 2015, di Kem Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, di sini hari ini.

Menurutnya, berhubung saman yang dibuat oleh Nurul Izzah terhadapnya, itu adalah hak Ahli Parlimen berkenaan dan bagi pihaknya siasatan akan tetap dijalankan berhubung isu perjumpaan bersama Jacel Kiram itu.

"Polis dapati YB Tian Chua juga ada ketika perjumpaan itu dan kita akan panggil dia juga nanti dan jika Tian Chua ingin saman saya, dia pun boleh berbuat demikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 2:18 PM