PESERTA Mamil MomMe bergambar kenangan.
PESERTA Mamil MomMe bergambar kenangan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Setiap ibu bapa pasti inginkan anak yang sihat dan cerdas, lantas pelbagai cara dilakukan untuk memastikan proses pertumbuhan anak berkembang secara positif. Bermula dengan pemberian nutrisi lengkap melalui makanan berzat, vitamin hinggalah makanan tambahan untuk merangsang kecerdasan si anak.

Bagaimanapun, kebanyakan ibu bapa sering mengabaikan gangguan penghadaman anak sedang­kan apabila anak memiliki saluran penghadaman yang sihat, tubuh mereka akan memiliki stamina yang baik dan mampu melawan pelbagai penyakit.

Menurut Pakar Perunding Kanak-Kanak, Dr Chin Wai Seong, sistem penghadaman yang sihat membekalkan banyak fungsi penting yang menyokong tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.

Katanya, selama bertahun-tahun ramai pakar memperkatakan mengenai peranan penting sistem penghadaman yang bukan sekadar sebagai asas pencernaan dan menyerap khasiat makanan, malah kajian terbaru menunjukkan ia juga menyumbang kepada sistem imun yang sihat dan kesejahteraan emosi.

“Sebagai contoh, makanan berkhasiat tidak akan mampu memberi manfaat kepada anak anda jika sistem penghadamannya tidak boleh mencerna dan menyerap nutrisi secara optimum.

“Kanak-kanak yang mempunyai sistem penghadaman tidak sihat akan mengalami simptom seperti perut kembung, kurang selera makan, cirit-birit dan sembelit. Ini akan memberi kesan kepada perkembangan fizikal dan tahap tenaga mereka, seterusnya mengakibatkan tumbesaran kurang memberangsangkan dan membuatkan mereka berasa penat dan meragam,” katanya ketika membentangkan Kepentingan Kesihatan Sistem Penghadaman yang Baik Untuk Anak Anda inisiatif Mamil MomMe untuk memberi kesedaran mengenai kesihatan penghadaman baik kanak-kanak.

Kesihatan sistem penghadaman yang baik dengan persekitaran usus yang baik membantu menjadikan najis lebih lembut agar dapat dibuang dengan mudah.

Beliau berkata, sistem imun badan juga berkait rapat dengan kesihatan menyeluruh kerana 70 peratus sel imun terletak di dalam sistem penghadaman ini. Oleh itu, sistem penghadaman yang baik juga boleh membantu mengelakkan jangkitan penyakit.

“Pada masa sama, sistem penghadaman dan persekitaran usus yang baik menyokong pencernaan dan penyerapan nutrisi. Ini sangat penting untuk tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak,” katanya.

Dr Chin turut berkongsi beberapa tip berguna untuk mengekalkan kesihatan sistem penghadaman yang baik seperti memastikan anak selalu bersenam, meningkatkan pengambilan buah, sayur dan air serta memasukkan prebiotik dalam diet anak mereka untuk merangsang pertumbuhan bakteria baik dan mencegah pertumbuhan bakteria berbahaya di dalam usus, seterusnya menyokong kesihatan sistem penghadaman yang baik.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Danone Dumex (M) Sdn Bhd, Jane Ee berkata, kepentingan fungsi sistem penghadaman selalunya tidak diberi perhatian.

“Rumusan susu Mamil untuk kanak-kanak mengandungi campuran prebiotik oligosakarida, GOS/lcFOS (9:1) berpaten antarabangsa untuk menyokong dan mengekalkan persekitaran usus yang baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 10:25 AM