USUS tidak sihat menyebabkan pelbagai penyakit.
USUS tidak sihat menyebabkan pelbagai penyakit.
KANAK-kanak dengan masalah sistem penghadaman jejas mental dan fizikal.
KANAK-kanak dengan masalah sistem penghadaman jejas mental dan fizikal.
Oleh Zaitie Satibi


Sistem penghadaman manusia dianggap pusat segala operasi tubuh disebabkan bahagian ini mencerna makanan dan menyerap nutrisi. Jika organ ini berfungsi baik, bermakna kita menggunakan semua nutrisi dengan lebih cekap sekali gus dapat meningkatkan fungsi otak serta tahap tenaga.

Usus yang panjang kira-kira sembilan meter adalah sebahagian organ sistem penghadaman yang terletak di antara perut dan dubur. Majoriti bakteria dalam tubuh manusia iaitu kira-kira 100 trilion bakteria menghuni dalam usus besar atau kolon.

Kira-kira 70 peratus sel imun kita wujud pada saluran usus berikutan bakteria baik dalam saluran pencernaan itu bertindak sebagai benteng pertahanan pertama menentang patogen. Bakteria baik itu juga mengurangkan alahan dengan tindakan kawalan imun. Oleh itu, keseimbangan bakteria baik adalah penting dalam sistem imun.

Selain membantu menyingkirkan bahan buangan dan makanan tidak hadam, bakteria baik ini juga menghasilkan enzim yang membantu mengurai karbohidrat. Sebaik dicerna, bakteria baik itu kemudian membawa nutrisi iaitu vitamin dan mineral ke bahagian tubuh lain menerusi dinding usus ke dalam darah.

Fungsi lain bakteria baik ini mengawal pergerakan usus dan menghasilkan antibiotik untuk membunuh bakteria jahat. Ini menjadikan usus kita memainkan peranan lebih besar dalam sistem imun daripada apa yang kita sangkakan hanya sebagai sistem pencernaan dan penyerapan makanan.

Pakar Perunding Kanak-Kanak Dr Chin’s Child Specialist Clinic, Dr Chin Wai Seong berkata, kajian terbaru menunjukkan sistem penghadaman yang sihat menyumbang kepada sistem imun yang sihat dan kesejahteraan emosi serta bukan hanya sekadar berfungsi sebagai asas pencernaan dan menyerap makanan.

Namun, kanak-kanak hari ini mudah mendapat pelbagai penyakit seperti alahan, tidak boleh menerima makanan, kesihatan mental terjejas, kurang bertenaga, masalah kulit dan kesihatan imun yang lemah disebabkan sistem penghadaman yang tidak sihat akibat gangguan dalam fungsi usus.

Kanak-kanak yang me­ngalami masalah sistem penghadaman dapat dilihat menerusi gejala seperti sakit perut, perut kembung, cirit-birit, sembelit, loya dan kurang selera makan, perasaan berubah seperti pemarah, kepenatan, terlalu aktif dan kurang memberi tumpuan.

“Majoriti kes kanak-kanak yang bermasalah dengan sistem penghadaman bermula sekitar waktu mereka bercerai susu. Ini kerana, selepas tidak lagi menyusu kanak-kanak sudah menerima makanan pejal.

“Diet yang tidak seimbang seperti makanan dengan kandungan gula yang tinggi dan banyak lemak trans serta makanan proses menyumbang kepada gangguan usus kanak-kanak.

“Bagaimanapun, jangkitan usus, alahan makanan, tekanan dan penggunaan ubatan untuk mencegah lelah serta antibiotik juga menyumbang kepada punca gangguan usus kanak-kanak,” katanya ketika menyampaikan pembentangan mengenai kepentingan kesihatan sistem penghadaman yang baik untuk anak sempena majlis Mamil Momme anjuran Danone Dumex Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.

Menurutnya, usus yang sihat adalah kunci kesejahteraan keseluruhan kanak-kanak, di samping memberi ketenangan kepada ibu bapa berikutan perkembangan dan tumbesaran anak mereka berada dalam keadaan baik dan lancar.

“Masalah sembelit berlaku apabila pergerakan usus tidak lancar dan anak membuang air besar dua kali dalam seminggu. Anak juga akan menghadapi kesukaran membuang air besar, sakit perut dan meneran sehingga muka kemerahan, manakala najisnya juga keras.

“Sembelit sukar dirawat sekiranya masalah dibiarkan berlarutan lebih lama dan ini akan menyebabkan mereka mengalami fobia. Masalah lain yang timbul akibat sembelit seperti perut yang tidak selesa dan sakit, hilang selera makan, kentut dan najis berbau sangat busuk, malah anak juga menjadi cepat marah dan perasaannya sentiasa berubah.

“Masalah sembelit yang kronik juga dikhuatiri menjadi punca kanser kolon dalam jangka panjang disebabkan bahan buangan mengandungi toksin tidak dapat dikeluarkan dari tubuh, di samping itu jangkitan pada saluran kencing juga boleh berlaku.

“Bagi mengatasi sembelit, ibu bapa boleh memberikan anak ubat pelembut najis, selain melatih mereka menggunakan tandas seperti duduk pada mangkuk tandas dengan betul dengan menetapkan paras kedudukan punggung dan kaki. Ibu bapa juga boleh mengurut perut anak selama 10 minit selepas makan bagi melancarkan pergerakan rektum dalam perut,” katanya.

Dr Chin berkata, usus tidak sihat juga menyebab­kan cirit-birit apabila anak membuang air besar lebih kerap dengan najis yang cair dan kadangkala dalam jumlah yang banyak. Jangkitan dalam usus juga menyebabkan najis mengandungi mukus atau berlendir dan najis berdarah.

Anak yang mengalami cirit-birit akan menyebabkan badannya kekurangan air atau dehidrasi dan menjadi tidak aktif. Lanjutan masalah usus yang dibiarkan lama-kelamaan akan menyebabkan anak mengalami tekanan, runsing dan murung akibat tidak dapat membuang air besar dengan lancar di samping tidak tahan menanggung kesakitan.

“Usus yang tidak sihat mendatangkan pelbagai penyakit dan gejala yang timbul boleh memberikan kesan kepada perkembangan fizikal dan tahap tenaga anak seterusnya mengakibatkan tumbesaran kurang memberangsangkan dan membuatkan mereka berasa penat dan meragam.

“Sistem penghadaman dan persekitaran usus yang baik menyokong pencernaan dan penyerapan nutrisi yang sangat penting untuk tumbesaran dan perkembangan anak. Makanan berkhasiat tidak akan memberi manfaat kepada anak jika sistem penghadamannya tidak boleh mencerna dan menyerap nutrisi secara optimum.

“Pembelajaran anak sudah tentu terganggu kerana tidak dapat menumpukan perhatian akibat lemah dan tidak bertenaga kerana kurang selera makan, tidak cukup tidur, tekanan perasaan disebabkan perut yang sakit serta masalah dalam pembuangan air besar,” katanya.

Beliau berkata, bagi me­ngekalkan kesihatan sistem penghadaman yang baik adalah dengan memastikan anak selalu bersenam, banyakkan pengambilan buah, sayur dan air serta memasukkan prebiotik dalam diet anak untuk merangsang pertumbuhan bakteria baik.

Kanak-kanak disarankan supaya makan pelbagai kelas makanan mengikut sukatan yang digalakkan berdasarkan pada piramid makanan. Jika pengambilan makanan mengikut saranan dalam piramid makanan, kanak-kanak akan memperoleh semua keperluan vitamin, mineral dan nutrien penting lain.

“Makanan berserat ting­gi seperti roti, beras perang dan bijirin mengandungi prebiotik yang menjadi makanan kepada bakteria baik dalam usus. Bakteria ini akan menghasilkan nutrien untuk menjana usus yang sihat. Usus yang sihat akan menghasilkan tubuh yang sihat dan seterusnya kulit yang sihat.

“Prebiotik adalah serat tumbuhan khusus yang berfaedah menyuburkan bakteria baik dalam usus besar atau kolon. Ia tidak terjejas oleh haba, suhu sejuk, asid dan mampu bertahan lebih lama. Prebiotik juga terbukti membekalkan rangkaian manfaat kesihatan terutama membantu mengatasi masalah gangguan penghadaman dan penyakit keradangan dalam usus.

“Serat prebiotik juga mudah ditemui dalam kebanyakan buah dan sayuran seperti epal, pisang, bawang merah, bawang putih, kacang, asparagus, kobis. Ibu bapa boleh mempelbagaikan menu makanan mengandungi prebiotik dengan resipi lazat supaya dapat diambil anak,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Danone Dumex Malaysia, Jane Ee berkata, kepentingan fungsi sistem penghadaman yang selalunya tidak diberi perhatian mendorong pihaknya meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa supaya anak mempunyai sistem penghadaman yang baik menerusi inisiatif Mamil Momme seperti kempen dan forum kesihatan.

“Kami adalah pakar dalam nutrisi kanak-kanak dan rumusan susu Mamil untuk kanak-kanak mengandungi campuran prebiotik galakto-oligosakarida (GOS) dan rangkaian frukto-oligosakarida (IcFOS) berantai panjang yang terbukti secara saintifik mampu meningkatkan pertumbuhan bakteria baik dalam usus, mengurangkan pertumbuhan bakteria bahaya, menguatkan lapisan perlindungan usus dan menjadikan najis lebih lembut untuk memudahkan pembuangan air besar.

“Malah, menerusi inisiatif Mamil Momme juga memberi pendedahan bagi ibu bapa terhadap penjagaan usus yang sihat dalam kalangan kanak-kanak. Kempen dan forum kesihatan diadakan membantu ibu bapa lebih memahami kepentingan usus sihat kepada anak mereka dan dapat memberi penyelesaian kepada masalah yang sering dialami kanak-kanak iaitu ketidakselesaan ketika ingin membuang air besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:01 AM