KETIBAAN bayi sememangnya saat yang dinantikan oleh kesemua ibu bapa. Apabila dilahirkan, anda akan banyak menumpukan pada cahaya mata anda dan tidak sabar menyaksikan pencapaian tumbesaran dan perkembangannya.

Perkara kecil seperti kesihatan sistem penghadaman dan keadaan mikrobiota usus bayi anda mungkin tidak akan terlintas dalam fikiran anda.

Bagaimanapun, mikrobiota usus ialah koleksi mikroorganisma di dalam usus manusia yang berperanan penting bukan sahaja dalam mengekalkan kesihatan sistem penghadaman yang baik tetapi juga kesihatan keseluruhan yang baik. Maka, dicadangkan untuk ibu bapa agar memberi sedikit perhatian bagi aspek ini dalam tumbesaran bayi juga satu elemen penting dalam pengasuhan.

Tumbesaran dan perkembangan sistem penghadaman yang sihat dengan bakteria baik bermula dengan amalan penyusuan susu ibu.

Permulaan kesihatan usus yang baik

Semua bayi boleh mula dengan asas pemakanan yang baik untuk tumbesaran dan perkembangan yang sihat, dan ini datangnya dalam bentuk susu ibu. Ia merupakan sumber pemakanan utama, termasuklah prebiotik dan probiotik untuk bayi anda.

Kajian menunjukkan bahawa mikrobiota usus bagi bayi yang diberikan susu ibu adalah lebih stabil berbanding bayi yang diberikan susu formula dengan bakteria baik yang kurang dalam usus mereka. Jadi, penting bagi ibu untuk memberikan susu ibu secara ekslusif dalam enam bulan pertama, diikuti dengan pemberian makanan pelengkap dan meneruskan penyusuan susu ibu sehingga bayi berusia dua tahun.

Si ibu juga harus menjaga kesihatan mereka ketika waktu ini kerana pengambilan makanan dan gaya hidup mereka boleh menjejaskan penghasilan dan kualiti susu ibu.

Berikut ialah beberapa petua untuk memastikan kesihatan baik untuk si ibu supaya dapat memberikan kebaikan awal kepada sistem penghadaman bayi:


Makan sihat untuk kesihatan penghadaman yang baik

Amalkan diet yang mempunyai makanan sihat dan bernutrien. Anda memerlukan semua nutrien itu semasa sebelum dan selepas melahirkan anak untuk menyerap nutrien, vitamin, mineral dan probiotik untuk bayi anda.

Ambil makanan kaya prebiotik dan probiotik

Prebiotik didapati dalam serat pemakanan seperti legum, makanan bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan yang mengandungi bakteria baik termasuk makanan ditapai (tempe, acar, kimchi) dan makanan kaya probiotik adalah seperti minuman susu berkultur, yogurt dan keju. Kesemua prebiotik dan probiotik ini juga disalurkan kepada bayi menerusi susu ibu.

Ibu yang menyusu (dan secara tidak langsung bayi) juga boleh mendapat faedah daripada minuman susu berkultur. Satu kajian tempatan yang dijalankan oleh Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) telah menunjukkan bahawa pengambilan minuman susu berkultur dengan kultur probiotik hidup (L. acidophilus dan L. paracasei) mengurangkan gejala gastrousus seperti sembelit (yang kerap berlaku semasa mengandung dan sesetengah ibu juga mengalaminya selepas melahirkan anak), dan juga meningkatkan sistem imun badan.

Dapatkan tidur dan rehat yang cukup

Ibu memerlukan rehat yang banyak untuk pulih semula kerana kekurangan tidur boleh memberikan impak negatif kepada kesihatan. Badan yang lemah juga boleh menjejaskan sistem imun dan meningkatkan tahap stres yang boleh menyebabkan penurunan penghasilan susu ibu.

Berhenti merokok atau vape

Rokok atau rokok elektronik ialah tabiat tidak sihat yang mempunyai kesan langsung terhadap kesihatan pengguna dan juga orang sekeliling mereka. Hentikan tabiat ini seawal mungkin. Merokok mengurangkan penghasilan susu dan mengubah komposisi susu.

Ibu yang ceria

Mengekalkan gaya hidup aktif mempunyai banyak faedah, termasuk merendahkan risiko kemurungan selepas bersalin. Senaman ringan dan mudah seperti meregangkan otot juga boleh dilakukan. Ibu juga memerlukan waktu ‘masa diri’ untuk pulih daripada keletihan fizikal, mental dan emosi ketika menjaga bayi.

Elakkan Antibiotik yang Tidak Diperlukan

Antibiotik boleh menyelamatkan nyawa. Apabila perlu, anda memang memerlukannya. Namun, antibiotik juga sering disalahgunakan. Antibiotik kerap diminta oleh pesakit walaupun ia sakit ringan yang boleh sembuh sendiri, dan untuk selesema dan kebanyakan jangkitan telinga. Sebenarnya ubat antibiotik tidak berkesan untuk penyakit disebabkan oleh virus.

Preskripsi berlebihan bukan sahaja menyebabkan peningkatan strain bakteria yang kebal terhadap ubat-ubatan (iaitu rintangan antibiotik, dan ini amat menakutkan), ini juga membunuh bakteria baik dalam usus. Sebelum mengambil antibiotik, berundinglah dengan doktor sama ada antibiotik memang diperlukan untuk anak anda dan anda.

Membesar dengan baik

Pastinya apabila bayi anda membesar dan berhenti minum susu ibu, faktor lain memainkan peranan penting dalam tumbesaran dan perkembangan mikrobiota usus anak anda. Pemakanan ialah faktor yang penting, jadi pastikan anda menyediakan diet sihat untuk bayi anda.

Apabila anak anda semakin membesar, selain daripada protein dan karbohidrat, berikan lebih banyak makanan bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran. Seperti si ibu, kanak-kanak membesar harus amalkan pemakanan sihat (termasuklah makanan kaya prebiotik dan probiotik), dapatkan tidur dan rehat yang cukup dan mengamalkan gaya hidup aktif. Kesemua ini akan membantu kesihatan penghadaman bayi anda dalam keadaan baik dan mengekalkan kesihatan dan kesejahteraannya secara keseluruhan.

Artikel ini ihsan Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia (DHM) dan Program Penghadaman Sihat VITAGEN (VHDP), sempena Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2019. Dr Tan Eng Soon ialah seorang Pakar Gastroenterologi & Hepatologi. Beliau juga Ahli Majlis DHM. Beliau tidak berkaitan dan tidak menyokong sebarang jenama atau produk. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-56323301.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 10:30 AM