Galakkan tabiat sihat sejak dari kecil kerana ini akan menyokong anak anda membina asas yang kuat bagi sistem imunnya.
Galakkan tabiat sihat sejak dari kecil kerana ini akan menyokong anak anda membina asas yang kuat bagi sistem imunnya.
Prof Dr Raja Affendi Raja Ali (Ahli Jawatankuasa Pakar Program Pendidikan Probiotik Pakar Perunding Gastroenterologi Pusat Perubatan UKM)

SUDAH menjadi kebiasaan untuk kanak-kanak jatuh sakit beberapa kali setahun disebabkan sistem imun mereka yang masih belum matang. 

Oleh itu, mereka akan lebih terdedah kepada pelbagai jenis jangkitan, terutamanya apabila berada di dalam persekitaran yang sesak seperti pusat jagaan kanak-kanak atau sekolah. Selain itu, mereka juga kurang sedar akan kepentingan menjaga kebersihan peribadi.

Hal ini menjadi cabaran kepada ibu bapa dalam melindungi anak mereka daripada pelbagai penyakit. Dengan pembukaan semula sekolah dan pusat jagaan harian, semakin ramai pelajar yang kembali kepada rutin biasa mereka meskipun pandemik Covid-19 masih lagi menular. Justeru itu, amat penting untuk memastikan sistem imun anak anda sentiasa kuat.

Pentingnya sistem imun yang sihat

Apakah sebenarnya sistem imun? Ia bukanlah hanya satu entiti sahaja, tetapi ianya ialah satu rangkaian kompleks yang terdiri daripada pelbagai sel, tisu dan pelbagai organ. Ia bersama-sama menyokong tubuh melawan jangkitan dan melindungi kita daripada penyakit yang disebabkan oleh pelbagai mikroorganisma.

Sebahagian besar sistem imun terletak di dalam sistem penghadaman kita, dan ini melibatkan lebih kurang 80% sistem imun tubuh. Sistem penghadaman bermula dengan mulut, esofagus, perut, usus kecil dan besar, seterusnya berakhir di rektum. Ekosistem saluran penghadaman juga mengandungi pelbagai mikroorganisma yang dipanggil mikrobiota usus.

Semasa anak anda sedang membesar, dia terdedah kepada pelbagai jenis virus/bakteria dan mikrob lain yang berpotensi memudaratkan, di mana kebanyakannya boleh memasuki ke dalam tubuh melalui sistem penghadaman.

Mikrobiota usus yang berada di dalam sistem penghadaman berperanan untuk melindungi dinding usus dan melindungi tubuh daripada patogen yang berbahaya, sama ada dengan mencegah kemasukan patogen ke dalam tubuh atau menghasilkan antibodi untuk menyerang patogen.

Lama-kelamaan, sistem imun akan mempelajari untuk membezakan di antara mikrob yang berbahaya dan mikrob yang tidak berbahaya  serta sel di dalam tubuh seseorang. Kesihatan sistem penghadaman yang lemah akan membolehkan mikrob berbahaya masuk ke dalam tubuh kerana kemampuannya untuk melawan penyakit telah terjejas.

Disebabkan inilah, tahap penjagaan mikrobiota usus yang baik adalah penting untuk mengekalkan kesihatan sistem penghadaman sekaligus membentuk sistem imun asas yang optimum.

Panduan untuk membina asas sistem imun yang kuat

Galakkan tabiat sihat sejak dari kecil kerana ini akan menyokong anak anda membina asas yang kuat bagi sistem imunnya. Tabiat sihat membantu anak anda membina imunitinya dari awal dan mengurangkan risiko pelbagai jangkitan.

Jika anda mencari jalan pintas atau cara mudah untuk membina sistem imun asas yang baik, anda tidak akan menemuinya! Status sistem imun kita dipengaruhi banyak faktor seperti genetik, persekitaran, pemakanan, kebersihan peribadi, pelbagai penyakit kronik, hormon stres seperti kortisol, malah kitaran bangun-dan-tidur (sleep-wake cycles of circadian rhythms).

Terdapat beberapa perkara yang ibu bapa boleh lakukan untuk membantu anak-anak membina sistem imun yang kuat. Pertama sekali, tumpukan perhatian pada perkara-perkara berikut (berguna untuk anda juga!):

1. Diet sihat untuk sistem penghadaman sihat

Mulakan dengan diet seimbang dan pelbagai yang kaya dengan buah, sayur dan bijirin penuh. Galakkan anak anda makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang terdiri daripada pelbagai warna.

Langkah ini penting untuk membekalkan sistem imun anak anda dengan pelbagai nutrien yang diperlukan sistem imunnya supaya ia kekal kuat dan dapat menghasilkan antibodi bagi melawan pelbagai penyakit. Ini juga penting bagi mikrobiota usus agar ia kekal sihat, dapat mengawal kandungan dan kepelbagaiannya, serta mampu mengekalkan keseimbangan antara bakteria 'baik' dan 'jahat'. 

Sesetengah kanak-kanak mempunyai tabiat memilih makanan, jadi cuba anda berikannya buah atau bijirin yang bercampur dengan bahan makanan yang lain. Buah-buahan dan sayur-sayuran seperti pisang, epal, oat, bawang, barli dan sayur hijau berdaun kaya dengan prebiotik yang berfungsi sebagai 'makanan' kepada bakteria 'baik' dan boleh ditambah ke dalam makanan anak anda.

2. Apa yang perlu dielakkan?

Sesetengah makanan boleh menyebabkan disbiosis, yang bermaksud ketidakseimbangan antara bakteria 'jahat' dan bakteria 'baik' (bakteria 'jahat' melebihi bakteria 'baik'). Oleh itu, elakkan makanan yang kurang sihat, tinggi lemak dan tinggi gula kerana ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan atau disbiosis yang boleh mengganggu sistem penghadaman.

3. Minum air secukupnya

Galakkan anak anda untuk minum air kosong secukupnya untuk mengekalkan tahap hidrasi yang baik. Ini penting kerana air membantu menghadamkan makanan, pergerakan usus dan membantu keseimbangan bakteria 'baik' di dalam sistem penghadaman.

4. Kekalkan keseimbangan mikrobiota usus

Tambahkan makanan yang kaya probiotik dalam diet anak anda kerana ini membantu mengekalkan keseimbangan bakteria 'baik' dan 'jahat' di dalam sistem penghadaman. Salah satu contoh yang terbaik ialah produk susu ditapai yang mengandungi kultur probiotik (minuman susu kultur, produk susu ditapai, yogurt, krim kultur dan krim masam).

5. Amalkan penyusuan susu ibu sekurang-kurangnya enam bulan

Para ibu perlu cuba menyusukan bayi mereka dengan susu ibu secara eksklusif sekurang-kurangnya selama enam bulan. Susu ibu bukan saja mengandungi kesemua nutrien yang bayi perlukan untuk membesar , malah ia juga kaya dengan pre- dan probiotik.

Ini menyokong perkembangan mikrobiota usus yang sihat serta boleh mengurangkan risiko pelbagai jangkitan kepada anak anda.

Tabiat sihat lain yang perlu dipupuk

Bukan itu sahaja! Banyak lagi yang anda boleh lakukan untuk menambah baik sistem imun anak anda. Berikut adalah tiga tabiat sihat yang boleh memberi manfaat kepada sistem imun.

  • Ajar anak anda untuk membasuh tangan secara kerap menggunakan air bersih dan sabun, terutamanya selepas menggunakan tandas, bersin, batuk dan sebelum makan dan minum.
  • Sediakan jadual agar anak anda melakukan aktiviti fizikal setiap hari. Aktiviti fizikal penting kerana ia boleh membuatkan sistem penghadaman berfungsi dengan optimum, dan dalam jangka masa panjang, boleh meningkatkan spesies mikrob bermanfaat dalam ekosistem penghadaman.
  • Amalkan tabiat tidur yang sihat untuk memastikan anak anda mendapat rehat yang secukupnya. Ini penting kerana sistem imun berfungsi dengan lebih baik apabila tubuh badan mendapat rehat yang secukupnya.

Tabiat sihat ini haruslah dimulakan sejak dari kecil. Laburkan masa dan usaha untuk kesihatan sistem penghadaman anak anda supaya kesihatannya secara keseluruhan akan bertambah baik dan sistem imunnya akan lebih kuat.

Akhir sekali, anda juga perlu mengamalkan apa yang anda sampaikan, kerana anak-anak lebih mudah mencontohi perbuatan anda berbanding arahan daripada anda.

Dapatkan maklumat profesional daripada Program Pendidikan Probiotik anjuran Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) http://nutriweb.org.my/probiotics/.

Artikel ini disumbangkan oleh Program Pendidikan Probiotik (PEP) oleh NSM dan disokong oleh VITAGEN Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti PEP, layari www.nutriweb.org.my/probiotics

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 9:02 AM