Aksi pemain pasukan bola sepak MSSM (kanan) dan pasukan MASKOM sempena SIPMA.
Aksi pemain pasukan bola sepak MSSM (kanan) dan pasukan MASKOM sempena SIPMA.

Arau: Tiga pasukan pilihan utama acara bola sepak sempena Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2015 yang sedang berlangsung menepati ramalan awal selepas menewaskan lawan masing-masing pada saingan hari pertama semalam.

Perlawanan terbabit yang berlangsung serentak di tiga lokasi padang bola sepak utama di dalam kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis di sini menyaksikan johan bertahan acara bola sepak SIPMA, pasukan Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (MASUM) menang selesa selepas mengalahkan pasukan Majlis Sukan Institusi Pendidikan Guru Malaysia (MSIPGM).

Tanpa belas kasihan, pasukan bola sepak MASUM tidak langsung memberi peluang untuk pasukan MSIPGM untuk bernafas selepas membenam pasukan terbabit dengan tujuh gol tanpa berbalas di Padang A kampus UITM Perlis.

Berbeza dengan aksi di Padang B, pasukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang dilihat sepatutnya menguasai permainan di gelanggang terbabit terpaksa berhempas pulas menjinakkan pasukan bola sepak Majlis Sukan Kolej-Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM) dalam aksi separuh masa pertama sebelum berjaya mendapat gol pertama di saat-saat akhir sebelum wisel rehat ditiup pengadil.

Pasukan MSSM terus tidak melepaskan peluang untuk meraih dua lagi gol dalam separuh masa kedua dan akhirnya mengesahkan kemenangan ke atas pasukan MASKOM dengan keputusan akhir 3-0

Sementara itu, aksi kental turut dipamerkan kedua-dua pasukan Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM) dan pasukan Majlis Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta IPTS (MASISWA) yang silih berganti menguasai perlawanan sebelum pasukan MSPM menidakkan peluang MASISWA dengan jaringan akhir sebanyak 3-0

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:20 AM