AKSI perlawanan MSPM menentang MASISWA.
AKSI perlawanan MSPM menentang MASISWA.
Oleh Hafizudin Mohd Safar

Kangar: Hoki menjadi acara pembuka tirai apabila enam perlawanan berlangsung membabitkan pasukan lelaki dan wanita sempena Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2015 di Kompleks Hoki Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, semalam.

Pasukan pilihan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) menepati ramalan apabila menunjukkan kehebatan dengan menewaskan Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM) 9-0.

Namun, persaingan sengit ditunjukkan Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM) sebelum tewas tipis 3-4 kepada Majlis Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (MASISWA).

Bagi acara hoki wanita Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) langsung tidak memberi ruang kepada Majlis Sukan Institut Perguruan Guru Malaysia (MSIPGM) apabila turut menundukkan lawan dengan jaringan besar 9-0.

Pasukan pilihan dari MSSM juga menepati ramalan selepas membelasah Majlis Sukan Matrikulasi Malaysia (MSMM) 13-0.

MASISWA turut tidak melepaskan peluang memungut mata penuh selepas menewaskan MSPM 5-0.

Kehangatan kejohanan semakin dirasai setiap kontinjen untuk memenangi emas pertama menerusi acara woodball yang bakal berlangsung di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh Putra, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:27 AM