MOHLIS (kanan) menyerah bendera kepada ketua kontinjen, Zairon Mustapa.
MOHLIS (kanan) menyerah bendera kepada ketua kontinjen, Zairon Mustapa.

Kangar: Majlis Sukan Politeknik (MSP) menaruh harapan barisan atlet mereka dapat mempamer kesungguhan bagi meraih banyak pingat apabila menyertai Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) di sini pada 20 hingga 28 November ini.

Tujuh acara olahraga, renang, tenpin boling, badminton, skuasy, hoki dan bola sepak dipertandingkan dan disertai enam majlis sukan MSP, Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Majlis Sukan Institusi Pendidikan Guru Malaysia (MSIPGM), Majlis Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (MASISWA) dan Majlis Sukan Matrikulasi Malaysia (MSMM).

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Datuk Mohlis Jaafar ketika majlis penyerahan bendera kontinjen MSP baru-baru ini berkata, penyertaan kontinjen itu penting bagi melahirkan pelajar seimbang dari segi sahsiah dan kendiri serta akademik.

“Pelajar yang aktif juga lebih matang dalam membuat keputusan dan mudah untuk diterima di sektor pekerjaan,” kata Mohlis di depan 126 atlet MSP.

Mohlis turut berharap kejohanan itu memberi impak positif terhadap pelajar terpilih mewakili MSP selain mampu melahirkan atlet berfikir atau ‘the thinking athletes’ selaras dengan dasar pembangunan sukan IPT.

Sementara itu, Yang Dipertua MSP Abdul Karim Jaafar berkata: “Kami berharap kontinjen Politeknik dapat membawa pulang seberapa banyak pingat dan membuktikan mereka tidak kurang hebatnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 8:36 AM