NORLIZA.
NORLIZA.
STUDIO milik Norliza yang digunakan untuk aktiviti krafnya.
STUDIO milik Norliza yang digunakan untuk aktiviti krafnya.
NORLIZA menghasilkan bukunya sendiri.
NORLIZA menghasilkan bukunya sendiri.
ANTARA bunga tangan yang dihasilkan Norliza.
ANTARA bunga tangan yang dihasilkan Norliza.
Siti Nadirah Hafidzin

Sejak kecil bakatnya dalam bidang jahitan sudah terserlah dan ia dibuktikan apabila dia mampu menjahit sendiri beg galas sekolahnya ketika baru berusia sembilan tahun.

Menjahit secara diam-diam menggunakan mesin jahit ibu ketika kecil bukanlah perkara biasa dilakukan kanak-kanak lain dan ia menjadi detik permulaan wanita berjiwa kental ini menyedari bakat dan minatnya.

Ternyata, kebolehan anak kelahiran Sekinchan, Selangor ini boleh dibanggakan kerana kini dia menghasilkan pelbagai produk kraf selain mempunyai studio kraf sendiri serta pernah menghasilkan buku kraf variasi hiasan bunga felt.

Norliza Samingon, 37, meminati bidang seni kraf tangan sejak di bangku sekolah, namun minat itu terpadam apabila dia melanjutkan pelajaran dalam bidang teknologi maklumat seterusnya menceburi bidang pekerjaan yang lebih bersifat teknikal.

“Secara jujurnya, saya lebih minat kepada jahitan kreatif berbanding menjahit pakaian. Menjahit beg galas menggunakan kain perca merah dan kuning yang menggambarkan semangat Selangor membuatkan minat saya terus berkembang,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM) ini sudah lebih sedekad berkhidmat di agensi swasta dalam bidang teknologi maklumat. Namun minat terhadap karya seni dan kraftangan membuatkan dia rela meninggalkan kerjaya itu dan memberi tumpuan kepada kerja seni.

“Saya memilih nama ‘sekoci’ sebagai jenama untuk karya seni saya kerana ia satu nama yang unik dan sinonim dalam kerja jahitan.

“Sekoci bermaksud gelendung benang di dalam mesin jahit. Tanpa sekoci, mesin jahit tidak bergerak kerana ia bagaikan nadi dan begitu juga dengan minat dan kesabaran saya dalam menghasilkan karya kraf,” ujarnya.

Menjahit di klinik

Semuanya bermula kerana minat terhadap seni kraf felt ketika Norliza hamil anak kedua. Ketika itu, dia sibuk mencari buku bayi yang baik dan berkualiti dikenali sebagai ‘buku busuk’ untuk menggantikan ‘bantal busuk’

Norliza mendapati buku bayi jenis fabrik di pasaran agak mahal iaitu sekitar RM80 hingga RM85 sebuah. Malah, agak sukar mencari buku tempahan khas untuk dijadikan hadiah istimewa buat permata hatinya.

“Saya mula mencari di Internet mengenai produk terkini dalam pasaran dan kemudian terjumpa tutorial yang menunjukkan cara menjahit buku bayi. Ia memberikan idea kepada saya.

“Saya terus cuba menghasilkannya bagi menambahkan lagi keistimewaan buku untuk permata hati saya,” katanya.

Norliza membawa muka surat buku yang belum disiapkan ke klinik untuk dijahit sementara menunggu giliran anaknya menjalani pemeriksaan bulanan.

“Rupanya aktiviti saya itu mendapat perhatian ibu bapa lain dan dari situ saya mula menerima tempahan. Kewujudan buku bayi yang semakin meluas di pasaran membuatkan saya mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza dalam karya felt dan pelbagai karya seni lain,” ujarnya.

Sejak itu, Norliza semakin ligat mencari idea untuk menjadi pencetus trend dalam mempelbagai hasil kraft felt dan seni kraftangan. Pada masa sama dia juga mengadakan kelas untuk peminat kraf berkenaan.

Jadi pencetus trend

Menyedari permintaan berubah mengikut musim dan tahun membuatkan Norliza perlu pantas memikirkan idea serta trend barangan kraf terkini.

“Sejak 2009 permintaan berubah-berubah kerana pada pada tahun itu buku bayi adalah barangan seni yang menerima permintaan tinggi, namun ia berubah apabila aksesori rambut, pin dan cenderahati pula mendominasi pasaran kraf pada 2010 hingga 2013.

“Bunga tangan, buku tetamu dan cenderahati perkahwinan pula menjadi pilihan pelanggan sejak 2014,” katanya.

Untuk tahun ini, dia menerima banyak tempahan untuk bunga tangan, buku tetamu, cenderahati perkahwinan dan pelbagai aksesori berasaskan kain felt.

“Membabitkan diri dalam bidang ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana saya perlu pastikan semua hasil kerja seni menepati kehendak pelanggan dan pastinya perlu tampil luar biasa berbanding jenama lain.

“Selain itu, saya juga perlu bijak membahagikan masa dan biasanya berada di studio dari jam 9 pagi hingga 6 petang,” ujarnya.

Sekiranya tempahan terlalu banyak, tugas diberikan kepada rakan kraf lain supaya sama-sama dapat menambah pendapatan.

Mencari idea dan mengekalkan keaslian setiap rekaan adalah perkara terpenting bagi seseorang penggiat kraf seperti Norliza.

“Saya perlu rajin mencari idea, membuat analisis dan perbandingan, cuba sesuatu yang baru selain mempelbagaikan teknik jahitan bagi mencari kelainan dalam produk dihasilkan.

“Saya juga perlu bijak meyakinkan pelanggan mengenai kualiti produk khususnya dari segi jahitan dan kekemasan,” katanya.

Persaingan harga juga menjadi cabaran kerana kadang kala ada peniaga yang sanggup jual murah di bawah harga kos semata-mata untuk melariskan karya mereka.

“Memanglah tindakan itu sedikit sebanyak menjejaskan peniaga lain tetapi saya percaya, rezeki kita sentiasa ada. Kraf felt ini adalah karya seni dan ia ada nilai tersendiri. Lebih berseni, harganya lebih tinggi,” katanya yang mengimpikan untuk membuka akademi seni kraftangan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 11:17 AM