BARISAN pelakon Ada Apa Dekat Bus Stop.
BARISAN pelakon Ada Apa Dekat Bus Stop.
MYO (kiri) pertama kali berlakon filem di samping Abam Bocey.
MYO (kiri) pertama kali berlakon filem di samping Abam Bocey.
KAZAR (kiri) dan Zaibo turut berlakon.
KAZAR (kiri) dan Zaibo turut berlakon.
Oleh Michelle Gun


Ingin mendidik masyarakat mengenai masalah gejala sosial, produksi Katak Hijau Entertainment Sdn Bhd menerbitkan filem komedi seram berjudul Ada Apa Dekat Bus Stop (AADBS).

Menemui penonton di pawagam hari ini, filem arahan Ikhzal Azfarel Ideris itu mengangkat perhentian bas sebagai subjek utama.

Meskipun kisah seram, gelagat pelawak terkenal Abam Bocey dan Tauke Jambu pasti membuatkan penonton tidak kering gusi.

Celoteh barisan pelakon Zaibo, Kazar, Airis Yasmin, Leez Rosli dan penyanyi Myo Oh Chentaku menghangatkan lagi jalan cerita AADBS.

Ia mengisahkan sebuah perhentian bas lama yang sering dijadikan sebagai tempat pemuda kampung melakukan aktiviti tidak bermoral.

Kemunculan hantu bernama Kak Senah secara tiba-tiba di perhentian bas terbabit menimbulkan kekecohan dalam kalangan penduduk kampung.

Keadaan bertambah misteri dengan kehadiran Maya yang menaiki bas dipandu Abam pada waktu malam.

Namun, kehadiran Kak Senah sebenarnya membawa kebaikan kepada penduduk kampung terbabit dan pada masa sama membantu menyelesaikan kes kecurian.

Ikhzal ketika ditemui pada majlis tayangan perdana AADBS berkata, filem genre seram dipilih untuk karya sulung Katak Hijau Entertainment kerana mahu menunjukkan manusia lebih teruk daripada hantu.

“Mesej positif dalam filem ini bertujuan menyedarkan masyarakat perlu berubah ke arah lebih baik,” katanya.

Menurutnya, penggambaran filem berlangsung selama 22 hari di sekitar pekan Parit dan Pulau Cempaka Sari di Perak.

“Pekan Parit masih mengekalkan seni dan warisan lama menjadikan ia lokasi sesuai dengan latar penceritaan filem,” katanya.

Lakonan pertama Myo

Bukan saja melakonkan watak sendiri, Myo turut merakamkan lagu tema bergenre pop rock untuk AADBS berjudul Terus Mencari.

Penggambaran muzik video lagu itu dilakukan pada Disember tahun lalu di sebuah banglo terbiar di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

AADBS juga filem pertama lakonan Myo yang sebelum ini menjayakan program travelog Ke Korea Ke Kita dan Ke Indonesia Ke Kita di TV9 bersama Wak Doyok.

“Lakonan ini peluang baik untuk saya mencuba sesuatu yang baru. Tambahan pula filem ini santai dan watak tidak berat,” katanya.

Myo atau nama sebenarnya Mior Luqman Hakim Mior Mohd Zain, 28, berharap akan diberikan peluang untuk berlakon lagi.

Sementara itu, kos pembikinan filem AADBS pula menelan perbelanjaan mencecah RM800,000 termasuk publisiti dan karya itu turut mendapat sentuhan pakar dari Jerman serta Jepun untuk proses akhir suntingan dan kesan khas visual.

Lebih membanggakan, AADBS juga filem tempatan pertama yang menjalani proses akhir suntingan di Imagica South East Asia, Pinewood Studio di Nusajaya, Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 8:32 AM