AIRIS dikatakan sudah berumah tangga apabila memakai tudung.
AIRIS dikatakan sudah berumah tangga apabila memakai tudung.
Oleh Ramlah Zainal

Penghijrahan Airis Yasmin pada Aidilfitri tahun lalu mengundang pelbagai reaksi peminat, malah ada desas-desus mengatakan pelakon cantik itu bertudung kerana sudah berumah tangga.

Airis atau nama sebenarnya, Yasmin Isa, 36, bagaimanapun menafikan perkara itu ketika ditemui baru-baru ini.

Tegasnya perubahan itu bukan kerana desakan sesiapa, sebaliknya atas kerelaan sendiri.

“Keinginan bertudung sudah lama ada, tetapi dipendam berikutan terikat dengan komitmen drama.

“Apabila usia kian meningkat, terdetik di hati perkara wajib tidak sepatutnya ditangguhkan. Saya kemudian menetapkan hati dan bertawakal kepada Allah SWT untuk bertudung sepenuhnya,” katanya.

Diminta mengulas dakwaan kononnya sudah berkahwin, ibu tunggal ini menegaskan dia masih solo.

“Saya sendiri tidak tahu macam mana boleh timbul cerita kononnya saya bertudung sebab sudah berkahwin.

“Kalau sudah berkahwin semula pasti saya tidak akan menyorokkan berita baik itu daripada pengetahuan pihak media dan peminat,” katanya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 15 tahun.

Ditanya kenapa dia masih lagi sendirian, kata pelakon yang hampir 15 tahun menjanda itu soal jodoh adalah ketentuan Ilahi.

“Saya kenal ramai orang, tetapi hanya berkawan, tidak lebih daripada itu. Pada masa sama, saya belum terbuka hati untuk berkahwin lagi.

“Fokus saya sekarang bekerja keras untuk menyara anak dan memberikan pendidikan terbaik demi masa depannya.

“Harapan saya moga dipertemukan jodoh dengan lelaki yang baik, bertanggungjawab, boleh membimbing saya dunia akhir dan menerima saya serta anak seadanya,” kata Airis.

Selepas berhijab, Airis terus dilimpahi rezeki dalam bidang lakonan. Malah, ramai penerbit dan pengarah masih percayakan bakatnya sehingga kini.

“Alhamdulillah, ramai menyambut baik perubahan ini dan saya diberikan watak yang bersesuaian dengan penampilan.

“Ada kalanya saya terpaksa menolak tawaran kerana bertindih dengan jadual sedia ada.

“Selain berlakon saya turut terbabit dengan kerja belakang tabir. Antaranya menjadi penerbit untuk program Mediacorp Suria TV (Singapura) dan Penerbit Eksekutif untuk drama rantaian RTM,” katanya.

Antara drama terbaru lakonannya ialah Memori Cinta 3 untuk Hypp TV, Memori Cinta Suraya (Astro) dan Cinta Si Wedding Planner (TV3).

Kembali beraksi di layar perak

Selepas sekian lama tidak muncul di layar perak, Airis mengubat kerinduan peminat menerusi filem terbitan Katak Hijau Entertainment berjudul Ada Apa Kat Bus Stop yang bakal menjengah pawagam seluruh tanah air pada 19 November ini.

Dalam karya bergenre komedi paranormal ini, Airis melakonkan watak hantu Kak Senah.

“Bagi saya filem ini ringan, tetapi sarat dengan pengajaran yang wajar direnung masyarakat.

“Hantu dalam filem ini lain dari lain apabila suka mengusik dan menasihati penduduk kampung yang cenderung melakukan perkara tidak berfaedah,” katanya.

Sambung Airis, watak hantu kak Senah ada cabaran tersendiri apabila perlu banyak bergurau.

“Bagi saya bukan mudah buat orang ketawa. Dalam cerita ini, saya kena banyak bergurau sedangkan saya bukan orang yang kelakar.

“Hantu Kak Senah juga perlu merempit, ambil dadah bersama pemuda kampung, menjadi ustazah jadian dan hantu cina untuk adegan sekumpulan anak muda memuja nombor ekor.

“Ia pengalaman baru buat saya,”katanya.

Selain Airis filem ini turut dibintangi Abam Bochey, Myo Oh Chentaku dan Tauke Jambu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 5:03 AM