TAK tolak persembahan pentas selepas jadi hero filem Ada Apa Dekat Bus Stop.
TAK tolak persembahan pentas selepas jadi hero filem Ada Apa Dekat Bus Stop.
Oleh Amirul Haswendy Ashari


Antara berlakon dengan membuat persembahan pentas, pelakon dan pelawak Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 27, lebih suka berlakon.

Katanya, apabila produk siap sama ada di TV atau filem, dia dapat tahu orang ketawa melihat lakonannya atau tidak.

“Berbeza dengan persembahan pentas, kadang-kala mimpi ngeri jika buat lawak orang tak gelak.

“Lakonan dalam filem terbaru, Ada Apa Dekat Bus Stop saya anggap menarik kerana diberi kepercayaan membawa watak utama dan komedinya lahir daripada babak, bukannya pelakon.

“Saya suka dengan watak kali ini sebab bukan saja baru malah ia lebih serius. Saya juga terima tawaran kerana dapat bekerja di luar kawasan. Selama ini saya tidak pernah keluar kawasan.

“Untuk filem ini, saya perlu belajar memandu bas dan ia satu pengalaman baru.

“Namun, tidak bermakna saya kini sudah mula ‘demand’ dengan menolak persembahan pentas. Malah saya bersyukur kerana tawaran persembahan pentas masih seperti biasa,” katanya.

Filem Ada Apa Dekat Bus Stop arahan Ikhzal Azfarel Ideris dan ditayang–kan di pawagam sejak 19 November lalu, menjalani penggambaran di Parit, Perak. Abam memegang watak pemandu bas yang serius bersama Airis Yasmin, Myo Oh Chentaku, Tauke Jambu, Kazar, Zaibo dan Leez Rosli.

Dalam filem ini Abam juga muncul solo tanpa anggota kumpulan Bocey, Acey (Mohd Nasir Hamzah) dan Fad (Muhamad Fadzlie Mohd Nizam).

Berbeza dengan beberapa lakonan mereka sebelum ini seperti filem Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa, Suatu Malam Kubur Berasap 2 dan beberapa program TV dan pentas, mereka sering tampil bertiga.

Anak kelahiran Gombak itu menafikan, biarpun namanya sering dilihat ke depan, tiada istilah dia meninggalkan kawan yang lain.

“Saya tidak rasa lebih ke depan berbanding mereka sebab kami sama-sama naik. Saya tidak rasa apa-apa kalau orang dakwa lebih menonjol berbanding yang lain.

“Mungkin mereka pun tidak berkecil hati kalau dapat tawaran solo berbanding berkumpulan. Setiap kali ada tawaran, kami akan berbincang terlebih dulu. Tiada istilah terus gerak sendiri,” katanya.

Kata Abam, dia faham kedudukan mereka berdua yang sudah berkahwin dan mempunyai tanggungjawab sendiri, berbanding dia yang masih bujang.

“Saya tidak kisah tidak dapat melepak bersama selepas jam 11 malam kerana saya faham tanggungjawab mereka. Masing-masing kini perlu bijak merencana masa depan,” katanya.

Mengenai dirinya yang masih solo, Abam akui ada berkawan dengan seseorang tetapi enggan mendedahkan kepada umum.

Katanya, mereka masih dalam proses berkawan dan gadis yang rapat dengannya kini berusia 22 tahun dan dikenali sebagai Ana. Dia berasal dari Sabah dan kini menuntut dalam jurusan Komunikasi Massa di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.

“Status kami lebih kepada kawan tapi mesra dan saya juga ada membawanya bertemu ibu sebanyak dua kali sebelum ini.

“Kalau orang tanya, kenapa tak nak kahwin lagi, sebenarnya saya ada fokus yang lebih besar iaitu membahagiakan mak saya terlebih dulu. Saya nak bawa mak saya ke Makkah.

“Lagipun berkahwin berada dalam senarai keempat atau kelima dalam hidup saya. Saya lelaki, tak kisah untuk kahwin bila-bila. Lainlah perempuan, kalau umur 30-an pasti masyarakat akan terus bertanya,” katanya.

Kata Abam, masih banyak perkara yang perlu dilangsaikannya untuk keluarga. Malah Abam akui menyimpan impian untuk membeli kereta baru yang dianggap bukan aset berbanding menambah baik rumah keluarganya di Gombak.

Mengenai hasrat untuk mengurang­kan berat badan melalui beberapa proses diet makanan sebagaimana diluahkan sebelum ini, Abam akui rutin itu bagai terhenti seketika kerana sering dihidang masakan enak oleh ibunya.

“Proses diet rasanya sudah hilang sebab mak saya selalu masak sedap. Dulu turun tak banyak juga tapi saya boleh rasa perbezaan. Badan ada rasa ringan.

“Biarpun rutin diet sudah tidak seperti dulu, saya tetap elak makan makanan manis dan banyak minum air kosong,” katanya ketawa.

Dalam pada itu, Abam juga sibuk membuat persiapan untuk menghiburkan lebih 60 peminat terpilih sempena hari keluarga MyFidele anjuran syarikat penyedia perkhidmatan domain tempatan, Mynic Berhad di Sunway Lagoon pada 6 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 5:01 AM