MAMAT sentiasa memberikan watak filem hingga menjadi tular.
MAMAT sentiasa memberikan watak filem hingga menjadi tular.
HM Digital

APABILA sebut saja nama Mamat Khalid, kita dapat membayangkan karya sentuhannya.

Sebagai pengarah dan penulis filem, Mamat cukup berkaliber. Gaya, sentuhan, idea, konsep dan jalan cerita daripada Mamat memang tersendiri.

Rock, Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Kala Malam Bulan Mengambang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Hantu Kak Limah, Rock Oo!, Rock Bro dan terbaru, 18 Puasa Di Kampong Pisang dan Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa cukup popular dalam kalangan peminat filem tempatan.

Begitu juga dengan telefilem dan drama bersiri seperti 16 Puasa, 17 Puasa, Kampong Pisang Bersiri-Siri, Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel, Namaku Yassin dan Pinang Durian yang tidak jemu ditonton.

Selain itu, kelebihan Mamat adalah mencipta watak-watak yang akhirnya menjadi sebutan dan tular.

Apa yang menarik, sesetengah daripada mereka bukan dalam kalangan pelakon. Ada yang terdiri daripada orang sekeliling yang kemudiannya diminta berlakon sesuatu watak.

Difahamkan, mereka juga tidak melalui proses uji bakat dan hanya berdasarkan atas kepercayaan.

Berikut 10 watak ciptaan Mamat yang menjadi tular dan diminati peminat filem tempatan.

1. Husin

Watak lakonan Datuk Awie ini tampil dalam filem Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, Zombi Kilang Biskut, Hantu Kak Limah, Kampong Pisang Bersiri-Siri dan Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa.

2. Yeh Sekupang

Watak lakonan Rab Khalid ini muncul dalam filem Rock Bro, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Hantu Kak Limah, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit dan Rumah Pusaka Di Simpang Jalan.

Yeh Sekupang juga tampil dalam telefilem Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya dan 16 Puasa.

Bagaimanapun, Rab atau nama sebenarnya Khalid Shamsuri meninggal dunia pada 25 Januari 2018 pada usia 47 tahun di Hospital Ampang, Selangor akibat serangan jantung.

3. Usop Wilcha

Watak lakonan Syed Mohamad Asri Syed Zainal Abidin Jamalullail atau Shy8 ini diketengahkan dalam filem Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, Zombi Kilang Biskut, Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh dan Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium.

Dialog seperti 'Kita Bakor! Kita Bakor!' dan 'English Edukesyen' cukup popular dalam kalangan peminat.

4. Hantu Kak Limah

Watak lakonan Delimawati ini cukup popular dan menjadi 'trademark' dalam kalangan peminat filem komedi seram.

Ia tampil dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit dan Hantu Kak Limah.

5. Barkoba

Disebabkan watak ini, pelakonnya Bell Ngasri menjadi sebutan sebagai 'ikon' orang tak puasa selain popular dengan dialog 'yak yak yea'.

Ia tampil dalam filem 18 Puasa Di Kampong Pisang dan Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa.

Watak ini mula popular menerusi telefilem 16 Puasa dan 17 Puasa, tetapi ketika itu dikenali sebagai Ngas dan Ngasri.

6. Yah Kuchai

Dialog 'mi kari kuah laksa' dalam Kampong Pisang Bersiri-Siri tidak semena-mena membuatkan watak lakonan pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Arean Deanna Baharudean ini tular.

Gadis berusia 21 tahun ini sekali lagi menjadi perhatian dalam filem 18 Puasa Di Kampong Pisang dan Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa.

7. Jijo

Dalam siri Rock, watak lakonan Khir Rahman ini cukup menonjol dengan karakter yang tersendiri.

Selain Rock, Jijo turut muncul dalam Rock Oo!, Rock Bro dan Rock 4 : Rockers Never Dai sebagai penampilan khas.

8. Pak Jabit

Watak lakonan Man Kadir ini bermula dalam filem Zombi Kampung Pisang, Zombi Kilang Biskut, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon & Jin Pakai Toncit.

Bagaimanapun, Man atau nama sebenarnya Abdul Kadir Abdul Manaf meninggal dunia pada 7 September 2017 di Lanchang, Pahang.

Watak Pak Jabit kini dilakonkan Aziz M Osman dalam Kampong Pisang Bersiri-Siri, 18 Puasa Di Kampong Pisang dan Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa.

9. Wani

Watak lakonan Sharwani NS ini turut menarik perhatian ramai. Sharwani yang bermula sebagai watak tambahan dalam beberapa filem Mamat dilihat menonjol dengan watak ini.

Wani muncul dalam filem Zombi Kilang Biskut, Hantu Kak Limah serta telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan Kampong Pisang Bersiri-Siri.

10. Cik Man

Gelagat Cik Man lakonan Kamarool Haji Yusof dalam filem Rock Oo! dan Rock Bro cukup mencuit hati. Gaya percakapan, berjalan dan memasang api rokok cukup tersendiri.

Cik Man juga muncul dalam filem Rock sebagai pengacara sebelum dia diambil sebagai pengurus band Rimba Bara.

Selain itu, dia turut membuat kemunculan khas dalam filem Rock 4 : Rockers Never Dai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 6:55 AM