GELAGAT beberapa peserta menolak basikal.
GELAGAT beberapa peserta menolak basikal.
POLIS, agensi swasta dan masyarakat setempat berkayuh sempena Hari Sukan Negara 2015.
POLIS, agensi swasta dan masyarakat setempat berkayuh sempena Hari Sukan Negara 2015.
Oleh Murniyantie Musa


Julung kali diadakan, UK Cycling Endurance bukan saja berjaya menarik lebih 200 peserta, bahkan cukup bermakna apabila disertai peserta paling tua berusia 72 tahun. Program anjuran Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara Ulu Kinta membabitkan penyertaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi swasta dan masyarakat setempat adalah bersempena Hari Sukan Negara 2015.

Kayuhan merangkumi laluan berbukit dan mencabar sejauh 20 kilometer sekitar Ulu Kinta yang sememangnya terkenal dengan alam dan hutan semula jadi, sesuai dengan sukan lasak ini.

Bermula di Padang Kawad Kem PGA Ulu Kinta dan seterusnya melalui jalan berbukit dan berlumpur di Bukit Batu adalah puncak tertinggi di Ulu Kinta serta memasuki dua perkampungan Orang Asli, iaitu Kampung Tonggang dan Kampung Makmur.

Pelepasan disempurnakan Timbalan Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin di padang kawad kem itu. Selain penyertaan individu, kayuhan ini turut menarik pembabitan kelab sukan basikal ekstrem di negeri ini sebagai tanda sokongan.

Menurut Kok Chin, program berbasikal seperti UK Cycling Endurance ini bukanlah sekadar perlumbaan semata-mata, sebaliknya tanda sokongan kepada negara sempena Hari Sukan Negara bagi memupuk semangat perpaduan serta melahirkan masyarakat yang sihat.

“Di sebalik kemeriahan yang dirasai, program berbasikal seperti ini jelas dapat mengeratkan silaturahim dan muhibah dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita. Ia selaras dengan slogan PDRM iaitu Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada,” katanya.

Pegawai Jabatan Komunikasi Briged Utara PGA Ulu Kinta, Inspektor Mohd Faizal Mohd Isa, 29, tidak menyangka program kayuhan yang baru mahu mencipta sejarah sendiri mendapat sambutan melebihi sasaran penyertaan yang ditetapkan.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan sebahagian daripada usaha membudayakan gaya hidup sihat dan memberi dorongan dan motivasi tinggi kepada penggemar aktiviti berbasikal lasak untuk terus membabitkan diri secara aktif dalam sukan ini.

“Penyertaan kali ini kita dapat lihat bukan sahaja dalam kalangan orang muda, malah golongan veteran juga tidak melepaskan peluang menyertainya, mereka bersemangat datang bagi menyertai aktiviti ini.

“Program ini adalah medan terbaik bagi penggemar sukan lasak ini menguji ketangkasan dan ketahanan mental mengharungi laluan mencabar,” katanya.

Peserta paling tua, Robert Loh, 72, berkata, berbasikal adalah aktiviti yang digemarinya untuk menjaga kesihatan supaya kekal cergas dan bertenaga. Dia yang menyertai Kelab Berbasikal Station 18, tidak menganggap faktor usia sebagai halangan sebaliknya menyertai kayuhan berkenaan kerana percaya tahap kesabaran yang tinggi penting dalam aktiviti ini.

“Saya berbasikal mulanya hanya sekadar mengisi masa terluang, kini menjadi hobi tetap. Saya akan berbasikal bagi mengeluarkan peluh untuk mengekalkan stamina supaya sentiasa sihat dan cergas di usia emas ini,” katanya yang berjaya kayuh hingga ke garisan penamat.

Peserta remaja, Muhammad Hazim Syahmi Mohd Yusoff, 14, berkata, program ini bagus kepada penggemar sukan berbasikal seperti­nya kerana boleh mempel­bagaikan lagi teknik dan kemahiran sedia ada dalam menunggang.

“Saya ingin menceburkan diri secara serius dalam bidang ini, tetapi sebelum itu saya ingin melengkapkan diri dengan pendidikan akademik yang tinggi,” katanya.

Peserta wanita, Phybee Tan, 38, pula berkata, dia menyahut cabaran diri sendiri menyertai program ini di samping beriadah untuk kesihatan.

“Walaupun merentasi pelbagai halangan kawasan berbukit, tanah lumpur dan jalan licin, saya teruja untuk membuktikan wanita juga mampu melakukan sukan lasak ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 5:02 AM