Oleh Azrul Affandi Sobri dan Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Meletakkan diri sentiasa bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk berada dalam situasi berisiko tinggi bagi tempoh panjang dengan kemungkinan dijangkiti virus maut.

Itu antara cabaran perlu didepani petugas barisan hadapan ketika menguruskan jenazah pesakit Covid-19 terutama dengan angka kematian tinggi sejak kebelakangan ini.

Pengurus Jenazah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Nursyamsul Abdul Roni, 40, berkata, dia sudah menguruskan jenazah pesakit Covid-19 di sekitar Kuala Lumpur sejak setahun lalu dan setakat ini 130 jenazah diuruskannya.

Menurutnya, dia menyedari ada risiko tambahan seperti apabila ulang ke rumah dan bertemu keluarga sebaik selesai menguruskan jenazah, tetapi dilakukan dalam keadaan berwaspada.

"Prosedur operasi standard (SOP) mesti dipatuhi dengan ketat meskipun di luar tugas terutama bersama keluarga. Kebimbangan sentiasa ada, perlu sentiasa berhati-hati.

Pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD

"Setiba di rumah, saya tidak benarkan isteri dan dua anak lelaki berusia enam serta 10 tahun mendekati saya.

"Namun, isteri dan ibu di kampung di Perlis melahirkan kebimbangan, malah sering bertanya mengapa saya mengurus terlalu banyak jenazah pesakit Covid-19," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harian Metro di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Nursyamsul berkata, dia akan menawarkan diri bertugas setiap kali senarai kematian dikeluarkan dan ketika penyelianya mahu membahagikan petugas.

"Saya suka dengan job (tugas) ini. Sebab itu, apabila kosong, saya masuk line (sukarela untuk bertugas).

"Alhamdulillah, sehingga kini, saya membantu menguruskan 130 jenazah pesakit Covid-19. Khamis lalu, saya urus satu jenazah di Hospital Ampang pada sebelah pagi dan empat jenazah di HKL pada petangnya.

"Saya tidak perlu nama disenarai, sebaliknya lakukan secara sukarela," katanya.

Selain mahu merebut pahala, katanya, apa yang penting dia dapat melihat hikmah daripada kematian.

Menurutnya, setiap yang hidup pasti akan mati dan apabila melihat ada jenazah seolah-olah senyum dan jelas tenang, dirinya juga mahu pengakhiran husnul khotimah.

Pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD

Ditanya jumlah keseluruhan hospital dan pusat perubatan memohon kerjasama Jawi bagi menguruskan jenazah pesakit Covid-19, Nursyamsul yang juga Pembantu Hal Ehwal Islam di Masjid Negara berkata, 10 institusi kesihatan berbuat demikian.

Katanya, ia termasuk hospital dan pusat perubatan di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan.

"Setakat 22 Mei lalu, 347 jenazah disyaki atau disahkan dijangkiti virus Covid-19 disempurnakan Pasukan Petugas Pengurusan Jenazah Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jawi.

"Jumlah tertinggi pada 23 Mei lalu iaitu 16 jenazah diuruskan. Bagi orang Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19, ia termasuk dalam kategori meninggal dunia dalam wabak dan dia mendapat pahala syahid seperti syuhada lain," katanya.

Dalam keadaan kadar kematian tinggi sejak kebelakangan ini, kata Nursyamsul, dia pernah mengurus sehingga enam jenazah pesakit Covid-19 dalam sehari.

Menurutnya, pada prinsipnya, pihaknya sedia memberi khidmat mengurus jenazah pesakit Covid-19 untuk semua hospital di ibu kota.

"Tetapi, kita sering terima panggilan tugasan daripada HKL, Hospital Ampang, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Rehabilitasi Cheras, Institut Jantung Negara (IJN) serta terbaru, Hospital Pakar Pantai.

Pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD

"Dalam keadaan ini, petugas perlu letak tanggungjawab agama dan negara melebihi kepentingan peribadi.

"Secara khusus, ketika kematian berkaitan Covid-19 meningkat, cabarannya kepada kami adalah bersiap siaga menjalankan tugas dengan lebih kerap.

"Ia bermaksud perlu meletakkan diri dalam situasi berisiko dalam waktu yang panjang," katanya.

Nursyamsul berkata, Pasukan Petugas Pengurusan Jenazah Covid-19 Jakim dan Jawi dibahagikan kepada enam kumpulan.

Katanya, setiap kumpulan dianggotai tiga individu dan pasukan sama juga dianggotai enam petugas wanita.

"Petugas perlu bersedia berhadapan dengan persoalan dan pertanyaan yang sering diajukan oleh waris.

"Pengurusan jenazah disyaki atau disahkan dijangkiti virus Covid-19 berbeza dengan pengurusan jenazah biasa.

"Kami memahami perasaan waris yang terlalu sedih. Pematuhan kepada SOP yang tidak membenarkan memegang, memeluk dan menyentuh jenazah memang menyentuh perasaan," katanya.

Selain itu, Nursyamsul berkata, waris tidak dibenarkan untuk terbabit dalam pengurusan jenazah kecuali melihat seketika bagi pengecaman dan solat jenazah.

"Penjelasan yang tepat perlu diberi supaya waris faham keadaan ini," katanya.

Sementara itu, katanya, peningkatan kadar kematian akibat pandemik itu menyebabkan ada hospital yang terbeban daripada segi peralatan pengurusan jenazah.

"Contoh, pakaian perlindungan diri (PPE). Mujur di HKL banyak bekalan PPE. Namun ada hospital kekurangan PPE.

"Mungkin ketika awal penularan Covid-19 dulu, ramai yang membantu memberi PPE tetapi kini, bantuan seumpamanya berkurangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 1:00 PM