Shamsiah (kanan) bersama Mariam melalui jalan ke rumahnya yang mempunyai 14 pusara tidak berwaris.
Shamsiah (kanan) bersama Mariam melalui jalan ke rumahnya yang mempunyai 14 pusara tidak berwaris.
Oleh Nor Shafinaz Sari


Alor Gajah: Tiga sekeluarga umpama ‘menabung’ untuk bekalan akhirat apabila mereka memuliakan kubur secara sukarela dengan menjaga dan menguruskan 14 pusara tidak berwaris di halaman rumah yang sudah wujud sebelum mereka menetap di situ.

Pusara yang tidak dikenal pasti warisnya itu dipercayai berusia lebih 100 tahun, malah kehidupan mereka juga sudah sinonim dengan kubur berkenaan apabila membesar dalam kawasan kediaman yang dipenuhi pusara.

Bagi Shamsiah Kadir, 53, suami Mohd Othman Abdullah, 65, dan ibunya Mariam Limat, 80, mereka tidak mempunyai masalah untuk menguruskan 14 kubur lama di halaman rumah di Kampung Ramuan China Kechil, di sini, malah menganggap ia sebagai amanah yang perlu dilaksanakan.

Shamsiah yang mengalami masalah rabun serius, suaminya pula cacat penglihatan dan ibunya yang kerap uzur berikutan faktor usia tidak menjadikannya sebagai alasan untuk membiarkan pusara berkenaan dalam keadaan dipenuhi semak atau tidak terjaga.

Ibu tiga anak itu berkata, kubur berkenaan dipercayai berusia lebih 100 tahun membabitkan pusara kanak-kanak, bayi serta orang dewasa yang dikebumikan di halaman rumahnya itu sebelum zaman penjajahan Jepun lagi.

“Walaupun tidak tahu siapa si mati atau mengenali waris arwah, kami bertiga tidak pernah merungut dan sentiasa membersihkan kubur berkenaan bagi mengelakkan ia daripada dipenuhi semak.

“Saya mewarisi tanah ini bersama kubur berkenaan daripada arwah datuk yang membelinya daripada pemilik asalnya dengan harga RM80 saja pada 1940-an dan ketika itu ia dianggap sudah besar.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 5:26 AM