Pekongsian Jawi di Instagram mengenai pengebumian jenazah Covid-19 termuda.
Pekongsian Jawi di Instagram mengenai pengebumian jenazah Covid-19 termuda.
Yusmizal Dolah Aling

yusmizal @hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Ketika pangku jenazah bayi itu, saya rasa sebak kerana tiada waris dapat bersama ketika pengebumiannya," kata sukarelawan Amal Valley Organization, Hadri Aizat Hamzah.

Dia bersama Pasukan Pengurusan Jenazah Khas Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak menguruskan jenazah bayi lelaki berusia 38 minggu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih di sini, Selasa lalu.

Katanya, ketika urusan pengebumian, dia berasa sebak mengenangkan keluarga bayi itu yang sedang dirawat di Hospital Ampang, manakala ibunya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat Covid-19.

"Bapa bayi ini bersama lapan anaknya yang lain juga sedang dirawat akibat wabak ini.

"Dengan bantuan hospital, Amal Valley menguruskan jenazahnya dari awal sehinggalah dikebumikan.

"Suasana memang sebak, apatah lagi dia dikebumikan ketika hujan. Alhamdulillah segalanya selesai," katanya ketika dihubungi.

Jawi turut berkongsi kisah sayu itu di Instagram yang mengundang rasa sedih warganet.

"Insya-Allah anak kecil ini menanti di syurga, memberikan syafaat buat kedua-dua orang tuanya di akhirat kelak," katanya.

Sementara itu Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, setakat ini pihaknya sudah menguruskan 1,333 jenazah pesakit Covid-19 membabitkan 71 petugas.

"Daripada jumlah itu 753 jenazah adalah lelaki manakala selebihnya wanita.

"Sudah tentu kisah sebegini memberikan keinsafan bahawa wabak yang melanda sekarang ini tidak mengenal usia.

"Kita doakan agar negara dijauhi daripada wabak ini selain petugas barisan depan dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 7:04 PM