CHANG
CHANG
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) menggesa kerajaan bertindak proaktif mengekang perbuatan kumpulan kelab pelabur hartanah yang didakwa memanipulasi pasaran perumahan bagi mengaut keuntungan menerusi pembelian secara ‘en-bloc’ atau sebahagian besar unit kediaman.

Setiausaha Agung HBA, Chang Kim Loong berkata, taktik kumpulan yang mengakui diri mereka sebagai pakar hartanah itu adalah dengan membeli sehingga 50 hingga 60 peratus unit kediaman berkenaan.

Katanya, ada daripadanya mampu memperoleh diskaun 25 peratus iaitu potongan harga yang besar untuk pembelian hartanah.

“Kelab pelabur hartanah ini kemudiannya akan mengagihkan unit kediaman itu kepada ahli kelab dan menikmati keuntungan.

“Malah, ada daripadanya menjual semula kepada pembeli hartanah pada harga lebih tinggi berbanding ditawarkan pemaju,” katanya pada forum bertajuk ‘Does Greater Prosperity Come With Less Housing Affordability?’ (Apakah Kemakmuran Lebih Besar Seiring Ketidakmampuan Memiliki Rumah?) di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, ahli kelab yang dimaklumkan akan mendapat diskaun sehingga 15 peratus iaitu jauh lebih menarik berbanding potongan harga tujuh peratus untuk Bumiputera.

Chang berkata, ahli kelab juga sanggup membayar yuran keahlian antara RM300 sehingga RM6,000 dan dianggarkan ada kira-kira 30 kelab yang wujud di negara ini walaupun dilihat tidak begitu aktif tahun ini berikutan cabaran ekonomi semasa.

“Kami sememangnya tidak mahukan kehadiran mereka dan kerajaan perlu bertindak kerana setakat ini tiada undang-undang dapat menyekat tindakan mereka itu,” katanya.

Menurutnya, antara langkah boleh dilaksanakan kerajaan termasuk mengenakan bayaran duti setem lebih tinggi terhadap pembeli beberapa unit kediaman seperti lima peratus bagi tiga rumah pertama, 7.5 peratus bagi rumah keempat dan 10 peratus bagi rumah kelima dan seterusnya.

Chang berkata, selain membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri, kerajaan perlu membantu kalangan berpendapatan sederhana yang kos pemilikan rumah mereka tidak seharusnya melebihi RM300,000 seunit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:05 AM