TREND   data transaksi suku pertama 2021 menunjukkan  pembeli lebih menggemari unit kediaman lebih besar dan luas.
TREND data transaksi suku pertama 2021 menunjukkan pembeli lebih menggemari unit kediaman lebih besar dan luas.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

PEMBELI rumah kali pertama (FHB) didapati menyumbang kepada sebahagian besar transaksi hartanah di seluruh Malaysia pada suku pertama 2021 iaitu kira-kira 61.2 peratus.

Pengarah Urusan PropertyGuru DataSense, Joe Hock Thor berkata, golongan pembeli FHB turut mengatasi pembelian oleh pelabur di tiga pasaran hartanah utama Malaysia iaitu Lembah Klang, Johor, dan Pulau Pinang, masing-masing dengan 13.2 peratus, 65.2 peratus dan 0.08 peratus.

Bagaimanapun, katanya, jumlah transaksi hartanah kediaman Malaysia pada suku pertama 2021 susut sebanyak 44.7 peratus tahun ke tahun berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

"Keadaan ini terutamanya disebabkan peningkatan kebimbangan dalam kalangan pembeli hartanah mengenai kes Covid-19 selain prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih perlahan daripada jangkaan awal.

"Berikutan peningkatan kebimbangan terhadap kes Covid-19 dan prestasi KDNK, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila keyakinan terhadap pasaran berkurangan selain penurunan transaksi hartanah kediaman pada suku pertama 2021.

"Namun, kami gembira apabila melihat insentif seperti Skim Rumah Pertamaku dan Kempen Pemilikan Rumah sudah mendorong pembeli rumah kali pertama memulakan langkah untuk memiliki rumah sendiri pada suku ini," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, transaksi subsale mendominasi pasaran pada suku pertama 2021 dengan ramai pemilik hartanah bertindak menjual aset pada harga kompetitif untuk mendapatkan wang tunai dan seterusnya membolehkan kalangan FHB dan pelabur membuat pembelian pada harga bawah nilai pasaran.

"Ini jelas ketara di Lembah Klang yang mencecah rekod transaksi subsale sebanyak 83.7 peratus iaitu tertinggi dalam tempoh tiga tahun," katanya.

Dalam pada itu, langkah yang menyaksikan sebahagian besar rakyat bekerja dari rumah susulan pandemik turut mengubah jenis hartanah yang menjadi pilihan pembeli.

Trend ini dipaparkan data transaksi suku pertama 2021 yang mana pembeli lebih menggemari unit kediaman lebih besar dan luas dengan lingkungan harga antara RM300,000 dan RM500,000.

"Kalangan pembeli lebih memilih unit bertanah berbanding kediaman bertingkat, manakala rumah teres menyumbang 54 peratus daripada transaksi di Malaysia diikuti dengan kondominium atau pangsapuri (18 peratus)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 7:10 AM