Kuala Lumpur: Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) semalam menggesa kerajaan bertindak proaktif mengekang perbuatan kumpulan ‘kelab pelabur’ yang didakwa memanipulasi pasaran perumahan bagi mengaut keuntungan menerusi pembelian secara ‘en-bloc’ atau sebahagian besar unit kediaman.

Setiausaha Agung HBA, Chan Kim Loong berkata, taktik kumpulan yang mengakui diri mereka sebagai pakar hartanah itu adalah dengan membeli sehingga 50 peratus atau 60 peratus unit kediaman berkenaan dan menikmati diskaun sebanyak 25 peratus iaitu potongan harga yang agak besar.

“Mereka kemudiannya mengagihkan unit kediaman itu kepada ahli kelab dan menikmati keuntungan,” katanya pada forum bertajuk ‘Does Greater Prosperity Come With Less Housing Affordability?’ (Apakah Kemakmuran Lebih Besar Seiring Ketidakmampuan Memiliki Rumah?) di sini, semalam.

Beliau berkata, ahli kelab yang dimaklumkan akan mendapat diskaun 15 peratus yang jauh lebih menarik berbanding potongan harga tujuh peratus untuk Bumiputera, sanggup membayar yuran keahlian antara RM300 sehingga RM6,000.

Malah, Chang mendakwa mengetahui kewujudan kira-kira 30 kelab seumpamanya di negara ini biarpun ia tidak aktif tahun ini berikutan cabaran ekonomi semasa.

“Kami sememangnya tidak mahukan kehadiran mereka dan kerajaan perlu bertindak kerana setakat ini tiada sebarang undang-undang yang dapat menyekat tindakan mereka itu,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 4:00 AM