Kuala Lumpur: Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan Malaysia (HBA) melihat prestasi sektor hartanah tahun ini begitu memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya memandangkan kerajaan memperkenalkan pelbagai polisi baru yang memberi keuntungan kepada golongan pembeli.

Perkara pertama yang dilihat amat membantu pembeli ialah strategi kerajaan membangunkan rumah mampu milik secara agresif dan ini membantu rakyat untuk memiliki rumah yang ketika ini berdepan dengan isu harga jualan.

Setiausaha Agung HBA, Chang Kim Loong berkata, pelaksanaan projek tanah milik kerajaan yang dibangunkan oleh pihak swasta sememangnya satu langkah baik untuk memastikan harga jualan dapat dikawal oleh kerajaan memandangkan sekiranya harga yang ditawarkan pihak pemaju yang memiliki tanah berkenaan, ia pasti lebih mahal dan sukar dimiliki.

Beliau berkata, tambahan pula, kerajaan turut memperkenalkan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) daripada 15 peratus kepada 30 peratus bagi tempoh pegangan tiga tahun pertama serta penghapusan skim insentif oleh pemaju perumahan (DIBS).

“Berbanding 2013 jika dilihat spekulator sektor perumahan lebih agresif menyebabkan berlaku kenaikan harga rumah dan memberi tekanan kepada pembeli.

“Dengan adanya langkah kawalan harga dari kerajaan, ia amat membantu rakyat memiliki kediaman kerana kita tahu setiap tahun akan berlaku kenaikan harga pasaran sektor berkenaan. Hanya pihak berkuasa yang boleh membantu menangani isu ini,” katanya kepada Bisnes Metro.

Chang berkata, daripada segi kritikan, pihaknya berharap kerajaan akan mengkaji semula harga jualan kediaman yang ditawarkan projek rumah mampu milik Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dilihat masih tinggi.

“Selain itu, HBA juga berharap kerajaan dapat mengaplikasikan konsep bina dulu kemudian jual bukan sebaliknya kerana ia boleh memberi manfaat kepada pembeli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 9:37 PM