LIM (tengah) merasmikan pameran HOC-MAPEX 2019, di Mid Valley, Kuala Lumpur. FOTO: Rosela Ismail
LIM (tengah) merasmikan pameran HOC-MAPEX 2019, di Mid Valley, Kuala Lumpur. FOTO: Rosela Ismail
Sri Ayu Kartika Amri


PEMBELI rumah digalakkan membuat aduan kepada Kementerian Kewangan, jika menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pinjaman.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan memanjangkan aduan terbabit kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tindakan selanjutnya.

“Kita akan semak dengan BNM mengapa bank ini dengan sengaja tidak meluluskan pinjaman. Kita mahu semua institusi bank menggalakkan pemberian pinjaman perumahan.

“Saya ingatkan kepada institusi perbankan, jangan halang usaha kerajaan untuk tingkatkan pemilikan rumah dengan tidak memberi pinjaman,” katanya kepada media di majlis pelancaran Kempen Pemilikan Rumah-Ekspo Hartanah Malaysia 2019 (HOC-MAPEX) di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan pembeli yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan pinjaman adalah kediaman di bawah RM300,000 kerana margin atau keuntungan yang diperoleh daripada pemaju adalah kecil.

Lim berkata, sebanyak 72 pemaju yang menyertai HOC-MAPEX 2019 juga digalakkan memberi diskaun sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga jualan.

“Jika tak kurang 10 peratus, kita akan ambil tindakan, pemaju mesti kurangkan harga rumah 10 peratus kecuali harga kediaman di bawah RM300,000 kerana ia termasuk di bawah harga kawalan. Harga di atas RM300,000, pembeli mesti dapat 10 peratus diskaun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 6:46 PM