ANTARA enam model koleksi LEGO yang diperkenalkan.
ANTARA enam model koleksi LEGO yang diperkenalkan.

Petaling Jaya: Shell Malaysia memperkenalkan enam model baru koleksi LEGO Shell V-Power terkini membabitkan empat kereta ikonik Ferrari, set garisan penamat dan podium bersama patung mainan jurutera Ferrari Scuderia serta set stesen Shell di Litar Fiorano dengan patung mainan pakar Sains Shell.

Pelanggan hanya perlu melakukan pembelian minimum Shell V-Power dan Shell FuelSave sebanyak RM40 atau pembelian minyak pelincir Shell Helix empat liter untuk membolehkan mereka membeli satu daripada enam model itu pada harga antara RM9.90 hingga RM13.90.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Azman Ismail berkata, pengenalan koleksi terbaru itu diperkenalkan berdasarkan maklum balas pelanggan yang ingin memiliki ganjaran unik dan menikmati nilai tambah ketika membeli bahan api dan berbelanja di stesen Shell.

“Koleksi ini membolehkan kami menarik minat pemandu, peminat perlumbaan kereta, penggemar barang mainan, kanak-kanak dan dewasa untuk menjadikan Shell sebagai stesen kegemaran mereka,” katanya pada majlis pelancaran Koleksi LEGO Shell V-Power terbaru di sini, semalam.

Beliau berkata, model baru itu akan diperkenalkan setiap Ahad bermula 1 November hingga 31 Disember ini dan masih boleh dibeli sehingga 31 Januari 2016 atau sementara stok masih ada.

“Kami bakal memperkenalkan dua lagi ganjaran menarik apabila tempoh tawaran koleksi ini berakhir iaitu pemandu berpeluang membeli lori tangki Shell LEGO dan beg bimbit edisi terhad pada harga RM9.90 dengan pembelian Shell V-Power sebanyak RM40 atau Shell Helix HX5 dan HX7 empat liter dengan setiap pembelian Shell Helix Ultra empat liter,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 3:24 PM