Kuala Lumpur: Shell Malaysia Trading Sdn Bhd (Shell Malaysia) menawarkan pakej rejuvenasi enjin bernilai sehingga RM600 secara percuma kepada 500 pemilik kereta bertuah sempena penganjuran Pesta #LoveMyRide pada 13 dan 14 Jun ini.

Pengarah Urusannya, Azman Ismail berkata, pemandu yang mahu menikmati tawaran itu perlu membuat pemohonan secara atas talian di www.lovermyride.com.my dengan mendaftar butiran peribadi dan maklumat kereta masing-masing serta mengisi borang soal selidik sebelum pertukaran minyak.

“Kami mahu individu yang tidak pernah mencuba Shell Helix Ultra dengan Teknologi PurePlus untuk mengalami sendiri kelebihan produk ini dan apabila digabungkan dengan formula inovatif Shell V-Power, maka anda bakal menikmati pengalaman pemanduan optimum,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

#LoveMyRide adalah pesta yang julung kali diadakan dan bakal menampilkan gandingan Shell Helix Ultra dengan Teknologi PurePlus dan Shell V-Power. Acara ini bakal berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC), Kuala Lumpur bermula jam 10 pagi hingga 7 malam.

Sempena pesta itu, Shell Malaysia berhasrat mencatatkan rekod pertukaran minyak pelincir bagi kereta paling banyak dalam masa 12 jam untuk Malaysia Books Of Record membabitkan 100 mekanik pelajar Despark College dan bengkel jenama Shell Helix.

Beliau berkata, pihaknya dijangka menggunakan kira-kira 6,000 liter minyak enjin sintetik penuh Shell Helix Ultra dengan Teknologi PurePlus dan 15,000 liter bahan api Shell V-Power.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 7:36 AM