HADRI (kiri) dan Zulkifli.
HADRI (kiri) dan Zulkifli.
AHMAD Izhar menunjukkan pengecas yang digunakan untuk mengecas bateri BRT.
AHMAD Izhar menunjukkan pengecas yang digunakan untuk mengecas bateri BRT.
JURUTERA Rapid Bus Ahmad Izhar Che Om menunjukkan bateri yang digunakan bas BRT.
JURUTERA Rapid Bus Ahmad Izhar Che Om menunjukkan bateri yang digunakan bas BRT.
Oleh Siti Salmiah A Hamid

Pencemaran udara mampu memberi impak besar terhadap kesihatan dan alam sekitar. Ia juga antara penyebab fenomena pemanasan global yang mencetuskan pelbagai bencana di seluruh dunia.

Pencemaran udara boleh diklasifikasi kepada dua bahagian iaitu pencemaran primer dan pencemaran sekunder.

Pencemaran primer merujuk kepada pencemaran dihasilkan sulfur monoksida dan karbon monoksida yang tercetus daripada pembakaran tidak lengkap yang menyebabkan zarah halus terampai di udara.

Ia dilepaskan melalui ekzos kenderaan, perindustrian yang menjana asap atau bahan tercemar, pembakaran terbuka dan pembakaran arang batu tidak terkawal.

Pencemaran sekunder pula berpunca daripada tindak balas sulfur dioksida yang bergabung dan membentuk gas yang tidak diperlukan benda hidup seperti gabungan antara sulfur dioksida, sulfur monoksida dan wap air yang akan menghasilkan asid sulfurik.

Selain punca berkenaan, fenomena semula jadi turut menyumbang kepada pencemaran seperti kebakaran hutan akibat terik matahari serta letusan gunung berapi yang mengeluarkan partikel asap dan debu hingga menjejaskan penglihatan di sekitar tempat kejadian.

Pencemaran udara boleh menjejaskan sistem pernafasan kerana kesukaran manusia untuk bernafas selepas udara diracuni bahan tercemar dan gas tidak diperlukan.

Karbon monoksida boleh mempengaruhi sistem pengangkutan oksigen dalam darah sehingga melambatkan tindak balas manusia, seterusnya menyebabkan mengantuk, lelah dan menjejaskan paru-paru.

Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati seramai tiga juta manusia mati setiap tahun disebabkan pencemaran udara. Ia tiga kali ganda lebih tinggi daripada jumlah kematian disebabkan kemalangan jalan raya.

Pencemaran udara turut memberi kesan kepada tumbuh-tumbuhan yang menyebabkan daun gugur dan pertumbuhan terbantut. Nyawa haiwan juga terancam kerana menyedut udara tercemar dan memakan makanan daripada tumbuhan tercemar.

Tidak dinafikan, keadaan cuaca yang berjerebu sejak akhir Jun lalu berpunca daripada pembakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera, tetapi aspek utama dalam negara turut berpotensi menjadi penyumbang kepada pencemaran udara.

Kebergantungan masyarakat moden kepada kenderaan bermotor menyebabkan pembakaran bahan api terhasil dengan banyak sehingga membawa kesan buruk terhadap alam sekitar.

Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan, sebanyak 17,368,234 kenderaan berada di atas jalan raya pada 2013 berbanding hanya 14,271,570 pada tahun 2009.

Kualiti udara bergantung kepada jenis sistem pengangkutan, sumber tenaga, tahap teknologi enjin dan jumlah tenaga dilepaskan.

Jika masyarakat lebih mengutamakan pengangkutan awam, ia mampu mengurangkan impak pencemaran udara, malah kecekapan teknologi yang diguna pakai terhadap sektor pengangkutan dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan mampu menjimatkan wang.

Ketua Pegawai Operasi Green Technology Corporation Malaysia (GreenTech Malaysia) Ahmad Hadri Harris berkata, pencemaran itu dapat dikurangkan dengan mewujudkan Bandar Berkarbon Rendah (LCC).

“LCC memiliki penduduk yang mengguna pakai teknologi hijau secara mampan dengan melepaskan jumlah karbon rendah berbanding kebiasaan bagi mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

“Rangka kerja dan sistem penilaian LCC (LCCF) disediakan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan GreenTech Malaysia.

“Ia rangka kerja dan sistem penilaian kebangsaan untuk membimbing dan menilai pembangunan antara bandar yang melepaskan karbon rendah bagi menyokong matlamat Malaysia menjadi negara hijau menjelang tahun 2020.

“LCCF memberi fokus terhadap empat perkara iaitu persekitaran bandar, pengangkutan bandar, infrastruktur bandar dan bangunan,” katanya.

Sehubungan itu, GreenTech Malaysia memperkenalkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebagai usaha menarik minat masyarakat menghijaukan alam sekitar.

“EV adalah kenderaan yang menggunakan daya tarikan motor elektrik, dijana menerusi bateri dengan 0 hingga 12 peratus pelepasan karbon dioksida.

“Sebuah kenderaan petrol mampu bergerak sehingga 2,199 kilometer iaitu dari Kuala Lumpur ke Yangoon, Myanmar berbanding EV yang mampu bergerak sehingga 4,021 kilometer dari Kuala Lumpur ke Dhaka, India, iaitu hampir dua kali ganda.

“Bagi kenderaan diesel, hanya 15 peratus tenaga dapat diubah dan boleh digunakan untuk keperluan perjalanan berbanding EV yang menyediakan 40 peratus tenaga utama untuk kegunaan sepanjang perjalanan.

“Sejumlah RM30,742 dihabiskan bagi mengisi minyak petrol sesebuah kereta selama 10 tahun berbanding RM9,572 cas elektrik yang dibayar untuk kenderaan elektrik.

“Penggunaan EV bukan saja berbaloi kerana tidak memerlukan petrol atau diesel, malah penyelenggaraan kenderaan juga dapat dikurangkan dengan perbezaan sebanyak RM14,852 untuk 10 tahun,” katanya.

Hardi berkata, pengendali pengangkutan awam disaran memperhalusi jaringan pengangkutan dengan menggunakan kenderaan elektrik seperti yang diguna pakai Rapid Bus Sdn Bhd di BRT Laluan Sunway, Petaling Jaya.

“Pengangkutan awam menggunakan kuasa elektrik antara aspek yang boleh dimanfaatkan untuk mengurangkan pencemaran udara berbanding kenderaan persendirian. Ini kerana ramai masih belum dapat mengubah kepercayaan terhadap kenderaan elektrik.

“Sebanyak 173,226 kenderaan pengangkutan awam yang berada di jalan raya di seluruh negara pada tahun lalu mengeluarkan 7.07 tan metrik karbon dioksida setahun.

“Bateri yang digunakan bas awam elektrik di BRT Laluan Sunway mampu bertahan sehingga 250 kilometer bagi perjalanan sehari.

“Jangka hayat bagi satu bateri ialah 13 tahun dan ia boleh dikitar semula. Malah, bas awam elektrik mampu bertahan sehingga 15 tahun berbanding bas diesel cuma 10 tahun dengan kos penyelenggaraan tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 2:37 PM