PENCEMARAN di Hong Kong  dan Kowloon pada 26 Oktober 2018. FOTO AFP
PENCEMARAN di Hong Kong dan Kowloon pada 26 Oktober 2018. FOTO AFP
Agensi

PENCEMARAN udara sudah mencecah tahap berbahaya, serentak dengan keadaan dunia yang semakin sesak dan panas manakala enjin kenderaan berterusan mengeluarkan gas beracun, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam.

Dalam satu kenyataan di akhbar Phillipine Star, WHO berkata, sembilan daripada setiap 10 penduduk bernafas menggunakan udara tercemar yang juga pembunuh kepada tujuh juta manusia setiap tahun.

“Kesan kesihatan akibat pencemaran udara adalah serius, 1/3 kematian akibat strok, kanser peparu dan jantung adalah kerana pencemaran udara,” kata WHO.

Ia menyamai kesan menghisap tembakau dan lebih tinggi berbanding kesan akibat memakan terlalu banyak garam.

“Pencemaran udara sukar untuk dielakkan, tidak kira betapa mewah kawasan yang anda diami, ia ada di sekeliling kita,” kata kenyataan itu.

Menurut WHO, pencemaran mikro di dalam udara boleh melepasi sistem pertahanan tubuh dan meresap masuk jauh ke dalam sistem pernafasan dan peredaran, seterusnya menjejaskan peparu, jantung dan otak.

Kekurangan asap yang jelas kelihatan jelas WHO, bukan petanda udara adalah sihat.

Di kawasan lain di dunia, kawasan bandar dan perkampungan menyaksikan pencemaran toksik udara melebihi nilai purata yang dicadangkan WHO untuk panduan kualiti udara.

Bagi bercakap mengenai isu berkenaan, WHO dan rakan kerjasamanya akan menganjurkan buat kali pertama Persidangan Global Mengenai Kesihatan dan Pencemaran Udara di Geneva, bermula esok hingga 1 November bagi meraih perhatian dunia berhubung komitmen membanteras masalah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 8:18 PM