DR Soib menerangkan cara peranti jimat minyak berfungsi di USM, semalam.
DR Soib menerangkan cara peranti jimat minyak berfungsi di USM, semalam.
Oleh Kalsom Rahmathulah

Georgetown: Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta peranti jimat minyak berasaskan air (fuelisis) mampu menghasilkan gas oksihidrogen serta mengurangkan penggantungan kenderaan kepada bahan bakar.

Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM selaku Ketua Penyelidik Prof Madya Dr Soib Taib berkata, penjimatan minyak antara 20 hingga 50 peratus dicatatkan bagi model kereta Proton Saga yang digunakan dalam penyelidikan berkenaan.

Beliau berkata, kereta mampu bergerak sejauh 21 kilometer bagi satu liter petrol selepas pemasanganperanti itu berbanding jarak 14 kilometer yang dicatatkan pada asalnya.

“Gas yang terhasil disambungkan ke dalam enjin kenderaan untuk proses pembakaran bahan api yang selamat dan bersih untuk persekitaran.

“Melalui penyelidikan ini, jumlah pembebasan gas berbahaya dapat dikurangkan iaitu karbon monoksida sebanyak 25.6 peratus, karbon dioksida kurang sebanyak 9.1 peratus, hidrokarbon sebanyak 27.3 peratus serta nitrogen dioksida sebanyak 4.6 peratus,” katanya pada sidang media di USM, semalam.

Katanya, gajet itu mula dihasilkan pada Mac tahun lalu dengan kos RM1,200 serta mudah dipasang dan mampu bertahan selama lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 8:07 AM