GAMBAR hiasan, keadaan trafik di sebuah bandar di Britain. - Agensi
GAMBAR hiasan, keadaan trafik di sebuah bandar di Britain. - Agensi
AFP

London: Britain akan mengharamkan penjualan kereta menggunakan petrol serta diesel bermula 2040 dalam usaha mengurangkan pencemaran udara, kata kerajaan negara itu semalam.

Menteri Alam Sekitar Michael Gove semalam membentangkan rancangan pelan pencemaran udara kerajaan yang bernilai £3 bilion (RM17 bilion) yang antara lain dijangka mendesak majlis perbandaran seluruh negara mengemukakan cadangan sebelum Mac tahun depan untuk mengurangkan tahap nitrogen dioksida.

Larangan terhadap kereta serta van menggunakan petrol atau diesel mencontohi langkah dicadangkan untuk dilaksanakan kerajaan Perancis dan turut merangkumi kenderaan hibrid yang mempunyai motor elektrik dengan enjin diesel atau petrol.

Mahkamah Tinggi Britain mendesak kerajaan negara itu mengemukakan rancangan untuk menangani pencemaran nitrogen dioksida haram yang kebanyakannya berpunca daripada diesel.

Laporan draf diterbitkan pada Mei lalu, manakala yang penuh ditangguhkan akibat pilihan raya yang diadakan bulan lepas.

Kerajaan akan memberikan £255 juta (RM1.4 juta) kepada majlis perbandaran untuk menurunkan tahap nitrogen dioksida ke tahap dibenarkan.

Antara perkara yang mungkin dilaksanakan termasuk membuang bonggol di jalan raya, memprogram semula lampu isyarat dan mengubah tata atur jalan.

Penyokong kempen itu mahukan bandar-bandar di Britain mengenakan bayaran terhadap pemandu diesel di kawasan tertentu, tetapi pihak berkuasa hanya dibenarkan berbuat demikian jika tiada pilihan lain.

Ini kerana kerajaan tidak mahu ‘menghukum’ pemandu sewenang-wenangnya.

“Keadaan ini bukan salah pemandu kereta diesel. Disebabkan itu, untuk membantu mereka bertukar kepada kenderaan lebih mesra alam, kerajaan akan memikirkan skim bayaran untuk kereta lama bagi mereka yang terjejas akibat peraturan baru,” kata jurucakap kerajaan.

Kumpulan ClientEarth yang memperjuangkan kes itu mendakwa rancangan yang dicadangkan sebelum ini gagal menurunkan tahap pencemaran kepada kadar dibenarkan Kesatuan Eropah (EU).

Ia turut memberi amaran ‘masalah kesihatan akibat pendedahan kepada tahap pencemaran udara kini sudahpun berlaku menyebabkan tindakan segera diperlukan.’

Pencemaran udara menyumbang kepada kematian lebih 40,000 orang setahun di Britain, menurut rekod pihak berkuasa, dengan nitrogen dioksida antara punca utamanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 12:35 PM